Dadah dan rasuah: Hipokrasi kerajaan

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ | .

Musuh utama negara kita hari ini adalah dadah dan rasuah. Rasuah telah dan sedang memusnahkan kemajuan yang telah dikecapi oleh negara, manakala dadah pula telah merosakkan harapan negara untuk melihat masa depannya yang lebih cemerlang di tangan anak mudanya.

Tetapi kedua-dua gejala buruk ini sering ditanggapi dan dilayan secara berbeza. Ia seperti wujud perbezaan darjat di antara kedua-duanya. Satu penyakit orang miskin dan rakyat bawahan, manakala satu lagi adalah penyakit orang-orang kaya dan atasan.

Orang kaya yang lebih berkuasa biasanya akan mengelak daripada dianggap berpenyakit dan menjadi punca masalah. Jika mereka dimasukkan ke hospital, mereka akan memastikan segala persekitaran yang hebat agar mereka kekal dilihat sihat, kaya dan berkuasa.
Berbeza dengan orang miskin, mereka akan dimasukkan ke hospital yang penuh sesak dan serba kekurangan seolah-olah sebagai sebuah pusat transit menuju kubur. Tiada apa-apa yang mendesak untuk melihat orang miskin kembali sihat dan gagah. Malah mereka mestilah kekal dilihat lemah, sakit dan punca masalah.

Justeru kita melihat kerajaan sering melaungkan gejala penyalahgunaan dadah sebagai musuh utama negara. Anak muda yang terjebak dengan dadah akan dituding sebagai punca terbantutnya pembangunan negara dan ketidakamanan kehidupan dalam masyarakat.

Didedahkan kepada rakyat keperihatinan kerajaan yang telah menghabiskan berbilion ringgit untuk memerangi dadah. Dadah adalah neo komunisme yang melanda negara. Rakyat mestilah bersatu memerangi dadah dan jika berjaya diperangi, selesailah masalah utama negara.

Adapun rasuah, kerajaan turut menunjukkan keperihatinan memeranginya di hadapan rakyat. Tetapi malangnya, oleh kerana setiap kali pendedahan yang dibuat menunjukkan kerajaan dan pihak berkuasalah sebenarnya yang menjadi punca utama merebaknya rasuah, mereka terus berdolak dalih untuk memeranginya dengan serius.

Akhirnya rasuah dilihat sebagai penyakit orang-orang kaya yang sesuai dengan kekayaan dan kekuasaan mereka. Biarlah orang kaya dan berkuasa menyelesaikan masalah mereka sendiri, manakala orang-orang bawah mestilah membantu kerajaan memerangi musuh utama negara iaitu dadah.

Sepertinya sakit jantung, ia penyakit orang-orang kaya, sesuai dengan cara hidup orang-orang kaya yang tidak pun mengganggu kehidupan rakyat di bawah. Begitulah panyakit rasuah yang cuba digambarkan agar rakyat tidak memberontak ke atas kerajaan sebagaimana desakan mereka agar isu salah guna dadah diselesaikan segera.

Tetapi adalah jelas di sisi mereka yang berfikir bahawa rasuah dan dadah adalah musuh utama negara. Antara keduanya, rasuah adalah lebih bahaya dan kesannya adalah lebih nyata menghancurkan negara.

Tetapi disebabkan kerajaan bersifat hipokrit di dalam memerangi rasuah, kita akhirnya berhadapan kegagalan yang bukan sahaja dalam isu memerangi rasuah, malah isu memerangi dadah juga.

Saya pernah diberitahu oleh seorang pegawai di Agensi Anti Dadah Kebangsaan bahawa dia pernah bertanya seorang pesalah dadah, bagaimanakah cara memerangi dadah dengan berkesan? Dia menjawab, kamu perangi rasuah dahulu, baru kamu mampu perangi dadah.

Jawaban itu adalah kesimpulan mudah bahawa rasuah di peringkat atasanlah yang menjadi punca utama penyeludupan dadah gagal disekat masuk ke dalam negara. Ia akan kekal berleluasa sehinggalah gejala rasuah berjaya dihapuskan dari akar umbinya lagi.

Mampukah kerajaan bertindak? Ya, hanya kerajaan yang berani, amanah dan cekal sahaja mampu bertindak. Adapun jika kerajaan itulah yang menjadi penagih dan pencinta rasuah, maka harapan pastinya akan lebur. Hanya kuasa rakyat sahaja sebagai jalan terakhir.

Bagaimana kita harus memerangi dadah dan rasuah dengan cara yang paling berkesan dan mampu diusahakan secara bersama oleh pemerintah dan rakyat? Jawabannya adalah dengan kembali kepada akar umbi agar kita menemui sentuhan penawarnya yang benar dan hakiki.

Kalangan belia, gejala penyalahgunaan dadah adalah berpunca daripada kesempitan hidup dan rasa putus asa yang teruk. Sebaliknya, gejala rasuah dan jenayah kolar putih yang membarah di umbi kuasa dan menjalar di segenap peringkat pentadbiran kerajaan adalah berpunca daripada ketamakan, mengejar kemewahan dan hilangnya nilai integriti dan sifat amanah.

Penawar dan ubat sebenar bagi rasa keluh kesah menghadapi kesulitan hidup, rasa kekecewaan yang melampau, rasa tamak dan rakus mengejar kemewahan dan hilangnya rasa amanah dalam diri adalah ugama dan taqwa kepada Allah. Ia adalah penyakit-penyakit hati yang rawatannya mestilah rawatan langsung ke atas hati dan iman yang lemah.

Jiwa yang sakit dan lemah, imannya akan dikuasai nafsu yang menyeru kepada ubat-ubat segera yang menambahkan lagi kesakitan dan kerosakan. Jiwa yang sakit itu menjadi lemah untuk menerima ubat hakiki yang memaksanya menahan diri daripada menikmati keseronokan dan kelazatan segera.

Justeru tanpa usaha dan jihad yang menyeluruh dan benar, usaha memerangi rasuah dan dadah akan kekal terbantut dan tidak akan ke mana-mana.

Sebagaimana kita terus gagal menangani isu salah guna dadah dengan berkesan akibat kegagalan menerapkan nilai-nilai ugama yang benar dan menyeluruh, begitulah halnya gejala rasuah di kalangan pemimpin politik dan kakitangan awam. Nilai-nilai taqwa gagal diterapkan dengan berkesan malah dipandang ringan oleh pihak pemerintah sendiri yang dilihat paling terpalit dengan jenayah dan gejala ini yang lebih teruk kesannya ke atas pembangunan negara berbanding gejala salah guna dadah.

PAS menyeru kepada penyelesaian akar umbi dan sempurna. Islam adalah ugama yang telah terpahat dalam di dalam jiwa umat. Ia dibiarkan lumpuh dan terbengkalai tanpa diaktifkan dan dicergaskan oleh penganutnya sendiri. Itulah punca gejala buruk menyerang umat dengan begitu mudah. Itulah juga punca sukarnya keburukan itu dibuang daripada umat Islam.

PAS walaupun sedar terpaksa berhadapan ranjau membawa penyelesaian Islam yang ditolak sendiri oleh orang yang berpenyakit iaitu pemerintah sendiri, namun perjuangan akan terus menerus bersambungan demi kebaikan dan maslahat besar kepada negara dan tanah air.

Jika kita terus berkeras menolak peranan ugama atau acuh tidak acuh dengan penyelesaian Islam, janganlah segan untuk menerima hakikat bahawa kita sendirilah yang menjadi punca gejala salah guna dadah dan rasuah terus membarah dan menyerang umat.

Rakyat mestilah bangkit dengan kekuatan Islam untuk menolak pemimpin dan keeajaan yang terus acuh tidak acuh memerangi rasuah dan dadah. Semoga negara selamat dan rakyatnya maju jaya di dunia dan akhirat. - HARAKAHDAILY 28/8/2016

Artikel adalah untuk kolum 'Terang Rembulan' akhbar Harakah.

Share on Myspace