Tiba masa fikir pendidikan berasaskan Islam penting

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tunjang pendidikan Islam diperkukuh ke arah pembangunan ummah lebih efisien seiring tuntutan dunia dan akhirat, kata Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Agama Islam dan Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor itu berkata, ketetapan itu diambil sebagai jaminan penyatuan ummah merangkumi aspek pendidikan di seluruh negeri.
 
“Sudah tiba masanya kita memikirkan bagaimana pendidikan itu sebagai perkara sangat penting terutamanya pendidikan berasaskan Islam.

“Di samping kita tidak mengenepikan ilmu akademik yang dianggap sebagai teras dan keperluan kerana terbukti ketika kegemilangan zaman ilmuwan dan pemikir Islam,” katanya dipetik SelangorKini.

Menurutnya, fokus pengajian berteraskan pendidikan Islam tidak sewajarnya dipinggirkan, seiring tumpuan terhadap pembangunan akademik duniawi.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kompleks Sekolah Rendah Islam Tahfiz Integrasi Sijangkang (SRITIS) di pekarangan Masjid Jamiul Ehsani, semalam.

Sebelumnya, pembinaan SRITIS merupakan inisiatif badan bukan kerajaan untuk membangunan sebuah institut pendidikan berteraskan pembangunan keagamaan.

Pembinaannya mencecah RM500,000 bagi fasa pertama dengan kos pembinaan dibuat menerusi hasil sumbangan orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam perkembangan itu, Yunus berkata pembinaan madrasah baru itu menjadi pemangkin ke arah melahirkan pelajar yang mampu menguasai ilmu agama dan akademik.

Share on Myspace