Negeri industri: Tanah jadi cabaran sektor pertanian

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pelan Induk Pembangunan Pertanian jangka panjang dilaksanakan sebagai inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menangani kekurangan kawasan pertanian baru.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abd Talib berkata, kaedah tersebut diwujudkan ekoran rungutan petani membabitkan beberapa faktor yang menghalang pertumbuhan hasil pertanian negeri.
 
“Sebagai negeri perindustrian dengan mempunyai jumlah penduduk tinggi, ia memberi cabaran sektor pertanian kerana isu tanah menjadi faktor paling utama.

“Namun dengan pelan ini, kita berharap ia merangkumi aspek penggunaan tanah optimum dan mampu menjana hasil tani tinggi melalui penggunaan teknologi dan konsep pertanian moden,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata dalam kenyataannya sempena penganjuran Kursus Teknologi Tanaman Fertigasi (ASAS) di Shah Alam, kelmarin.

Dalam perkembangan itu, Kursus Teknologi Tanaman Fertigasi merupakan lanjutan kepada pelaksanaan Program Agrogerms 2015.

Seramai 26 peserta dipilih dari kelompok pertama petani muda yang berpotensi dan mempunyai pengalaman untuk membantu meningkatkan hasil pertanian negeri.

Program berkenaan juga merupakan sebahagian daripada insiatif kerajaan negeri merancakkan lagi prospek pertanian negeri melibatkan golongan generasi muda.

Share on Myspace