RUU 355: Pertahan prinsip Islami

HARAKAHDAILY | .

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al Mumtahanah ayat 2 (bermaksud): "Jika mereka dapat menguasai kamu, nescaya mereka menjadi musuh yang membahayakan kamu, dan mereka akan membebaskan tangan mereka dan lidah mereka terhadap kamu dengan kejahatan, serta mereka suka kalaulah kamu juga menjadi kafir (seperti mereka)."

Usaha memartabatkan dan meninggikan ajaran Islam adalah tanggungjawab agama bagi setiap orang yang beriman.Tanggungjawab ini tidak boleh digadaikan dengan kepentingan duniawi dan juga habuannya. Ia adalah cerminan sifat jatidiri iman dalam individu Muslim.

Sokongan padu dan dokongan setiap warga Muslim dalam negara ini terhadap inisiatif meminda Rang Undang-Undang Akta 355 Mahkamah Syariah pada bulan Oktober 2016 nanti seharusnya menjadi prinsip dasar yang perlu digalakkan dan dipertahankan.

Kejayaan membawa Undang-Undang Persendirian Private Member's Bill bagi meminda Akta 355 Mahkamah Syariah di Parlimen oleh YB Tuan Guru Abdul Hadi Awang dari Marang merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan dari kaca mata nilaian Islam. Ia adalah satu kebanggaan apabila seorang daripada ahli parlimen Muslim daripada pihak pembangkang sendiri berjaya mengusulkan agar salah satu institusi penting Islam iaitu Mahkamah Syariah yang menjadi tempat umat Islam mendapatkan keadilan menurut ajaran agama mereka sendiri perlu dipertingkatkan dan dipinda sesuai dengan keperluan semasa yang mendesak.

Usul meminda Akta 355 ini seharus dan sewajibnya tidak dilihat sebagai polemik politik atau kepartian kerana ia adalah berkait langsung dengan hal ehwal umat Islam. Tambahan lagi, usaha mengusulkan pindaan ini diakui kewajarannya oleh pihak berkepentingan dari sudut perundangan seperti Peguam Syarie, Hakim Syarie dan umat Islam yang melalui proses mahkamah  bahawa keperluan bagi meminda dan meningkatkan kemampuan Mahkamah Syariah setanding dengan sistem perundangan Mahkamah Sivil, Mahkamah Majistret dan lain-lain di negara ini.

Dengan pindaan ini, Mahkamah Syariah akan bertambah kemampuannya dan keefektifannya dalam menangani isu perundangan umat Islam dan juga berupaya memberi keadilan yang sepatutnya kepada pihak yang menuntut hak mereka.

Sememangnya setiap perkara yang baik itu terdapat halangannya seperti mana Usul Pindaan RUU Akta 355 ini yang turut mendapat tentangan daripada beberapa pihak khasnya dari segelintir kalangan golongan bukan Islam dan sebahagian orang Islam sendiri.

Namun, sebagai umat Islam yang berprinsip, janganlah kita terdorong dengan mereka yang jahil dan tidak beriman. Sikap dan pendirian kita orang yang beriman hendaklah berpandukan kepada petunjuk Ilahi iaitu apabila melibatkan perkara prinsip dasar agama, maka kita mestilah berpihak kepada agama.

Adapun perkara yang tidak melibatkan dasar agama Islam seperti hubungan sesama manusia atas keprihatinan manusiawi, Islam tidak melarang dan menegah kita bekerjasama dan berkompromi. Contohnya, Islam melarang seorang anak menderhaka ibu bapanya sekalipun kedua-duanya adalah tidak beragama Islam. Tetapi apabila kedua-duanya mengajak dan menyuruh kepada kesyirikan, Islam melarang kita mentaati mereka. Islam juga membenarkan orang Islam bersahabat, bersosial, berurusniaga hatta membuat perjanjian dengan golongan bukan Islam. Namun prinsip dan pendirian Islam hendaklah dipelihara dan dipertahankan.

Pelajarilah kisah Hatib bin Abi Baltaah dalam surah al Mumtahanah apabila Allah menurunkan wahyu al-Quran bagi menegurnya dalam cubaannya menyampaikan rahsia perancangan Rasulullah s.a.w. kepada kaum keluarganya yang masih tidak beriman di Kota Mekah. Sekalipun Hatib bin Abi Baltaah menyayangi dan mengasihi terhadap kaum keluarga sendiri itu merupakan tuntutan agama Islam, tetapi tidak sampai menggadaikan prinsip Islam dan merugikan Islam itu sendiri.

Semoga Allah membuka hati mereka yang berkaitan agar dilembutkan dan dilunakkan untuk bersama menyokong usaha pindaan Akta 355 di Parlimen pada bulan Oktober 2016 nanti.

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
29 Ogos 2016 / 27 Zulkaedah 1437 - HARAKAHDAILY 29/8/2016

Share on Myspace