Bumi Makkah sejuk seketika dibasahi hujan

ASLANI M | .

MAKKAH: Petang semalam bumi kota suci Makkah sejuk seketika akibat dicurah hujan yang agak lebat.

Sebelum itu kedengaran dentuman guruh dua kali di langit dan diikuti kehadiran awan hitam.

Sebaik selesai solat Asar kira-kira jam 5.15 petang hujan turun dengan agak lebat.

Sebelum hujan turun angin agak kencang bertiup, namun lebih perlahan berbanding petang kelmarin.

Hujan yang mencurah-curah dianggap rahmat bagi penduduk tempatan kerana ia sesuatu yang jarang berlaku.

Hujan menyebabkan air bertakung di jalan berlopak.  Malah aliran air juga deras di kawasan agak berbukit.

Sebahagian jemaah haji yang sedang bertawaf juga basah kuyup. Ada juga berpayung sambil mengelilingi Kaabah.

Titisan air juga jelas kelihatan mengalir jatuh dari corong emas yang terletak di penjuru kaabah.

Sebaik sahaja hujan reda petugas kebersihan Masjidilharam sibuk membersih kawasan dataran yang comot akibat selut melekat di selipar orang ramai.

Mereka terpaksa bekerja keras memandang dataran tersebut digunakan sebagai tempat solat.

Dengan bantuan jentera pencuci kerja-kerja membersihkan kawasan dataran dapat disiapkan menjelang solat Maghrib.

Hujan yang agak lebat juga menyebabkan jalan berselut sehingga pergerakan orang ramai ke masjidilharam menjadi perlahan.

Awan mendung di langit sekitar Kaabah kelihatan sejak minggu lepas. Orang ramai dapat melihat dengan jelas seperti tanda-tanda hendak hujan.

Sementara itu dalam perkembangan lain lebih ramai lagi jemaah haji dari seluruh dunia tiba di sini.

Deretan bas boleh dilihat memanjang di semua jalan  sehingga menghampiri Dataran Masjidilharam.

Ketibaan jemaah haji tanpa mengira masa dari awal pagi sehingga tengah malam. – HARAKAHDAILY 29/8/2016

Share on Myspace