Pentingnya pertanian, alam sekitar kepada manusia

HARAKAHDAILY | .

Firman Allah yang bermaksud: "Wahai manusia, abdikan diri kamu kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan mencipta orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa. Dialah juga yang telah menciptakan untuk kamu bumi menjadi hamparan dan langit sebagai binaan dan dia menurunkan daripada langit, air hujan maka dia mengeluarkan dengannya daripada buah-buahan yang menjadi rezeki kepada kamu. "Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah pada hal kamu mengetahui." (Surah al-Baqarah: 21-22)

Pentingnya sektor pertanian dan alam sekitar kepada kehidupan manusia sehingga Allah merakamkan kepentingannya dalam Al-Quran dengan perintah supaya mengabdikan diri kepada Tuhan, memakmurkan bumi dan diberi nikmat daripada air hujan, menumbuhkan tanaman dan makanan sebagai rezeki kepada manusia.

Pertanian berkait rapat dengan kehidupan manusia, menjadi aspek penting dalam keselamatan diri manusia dan keselamatan negara (food security).

Negara-negara paling maju di dunia memberi perhatian paling utama kepada sektor pertanian, tetapi negara kita terlalu asyik mengejar kemajuan sektor industri sehingga meninggalkan sektor pertanian.

Negara maju seperti Amerika, England, Jerman dan Jepun, melaksanakan projek pertanian besar-besaran hingga cukup untuk keperluan pembangunan negara dan rakyat mereka.

England misalnya menyediakan kawasan tanaman yang sangat luas, sesayup mata memandang. Jepun misalnya, menyediakan subsidi yang teratur sehingga 99% untuk memajukan sektor pertanian. Petani hanya perlu belanja 1% sahaja daripada kos penghasilan makanan.

Negara mengambil pendapatan daripada sektor lain untuk menampung sektor pertanian bagi menjamin kelangsungan sektor yang sangat mustahak ini. Tetapi subsidi diuruskan dengan sempurna sehingga petani tidak menjadi malas dan pihak yang terbabit dalam pertanian tidak menyalahguna peruntukan kerajaan.

Kemajuan sains diaplikasikan dengan betul dalam sektor ini sehingga mencapai tahap tanah yang sempit, masa yang singkat, hasil yang banyak.

Iran memajukan sektor pengeluaran padi dengan sains dan teknologi, hasilnya berlipat kali ganda, tetapi kemajuannya tidak diiktiraf oleh negara barat seperti Amerika. Amerika mahu mengiktiraf sains dan teknologi dia sahaja. Jangan belajar syiah sahaja daripada Iran, belajar juga kemajuan sektor pertaniannya.

Jepun dan Jerman bangkit dari kekalahan Perang Dunia Ke-2, dengan membangunkan sektor pertanian mereka. Tali air disediakan bukan sahaja untuk mengairi kawasan pertanian, tetapi sebagai terusan yang menjadi jalan pengangkutan yang murah bagi mengangkut hasil pertanian rakyat. Petani-petani miskin boleh memiliki perahu-perahu kecil yang jauh lebih murah daripada pengangkutan darat untuk membawa hasil mereka. Hari ini mereka menguasai dunia.

Saya pernah melawat Sulawesi sekitar tahun 2003, menjadi tetamu Dr Yusof Kalla (mantan Naib Presiden Indonesia). Saya memandang dari atas kapal terbang petak petak yang luas, yang saya sangkakan petak sawah padi, rupa-rupanya ia adalah sangkar-sangkar ternakan ikan. Kerajaan Indonesia memberi peruntukan, latihan, subsidi benih dan makanan ikan serta membangunkan sistem pemasaran ikan tersebut sebagai hasil wilayah Salawesi.

Kerajaan kena beri peruntukan dan perhatian yang cukup kepada petani, penternak, nelayan kita. Isu baja, jentera, makanan haiwan, benih pertanian jangan sampai para petani dimainkan orang.

Rakyat kita boleh memelihara binatang dan ternakan tetapi isu makanan haiwan menjadi masalah bila bergantung kepada pihak lain yang menguasainya.

Bukan sahaja isu jentera dan teknologi, kita juga menghadapi isu benih, isu baja, hasil penyelidikan pertanian yang yang dipermainkan orang lain, kita juga ketinggalan berbanding negara lain seperti Thailand yang menguasainya dengan baik dalam aspek duluan dan hiliran pertanian.

Kita ada berpuluh-puluh agensi, tetapi masih gagal dalam banyak aspek di bidang pertanian. Mesti dibangunkan sektor duluan dan hiliran untuk membangunkan sektor pertanian negara kita.

China mewujudkan zon pertanian dan tanaman berdasarkan wilayah dan mereka berdagang sesama mereka berasaskan hasil yang mereka keluarkan. Kita menanam tanaman yang sama seluruh negara, akibatnya kita menghadapi masalah pemasaran produk pertanian.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) kerana mengambil langkah menubuhkan badan NGO bagi membantu rakyat dan negara menangani isu-isu pertanian dan alam sekitar.

Tulisan di atas adalah petikan ucapan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Pelancaran NGO Rakan Alam dan Agro Care anjuran Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat (LATAS).
Catatan: Muhammad Sanusi Md Nor (AJK PAS Pusat)

Share on Myspace