59 Tahun Merdeka: Awas penjajah versi baru

HARAKAHDAILY | .

PERUTUSAN YAB MENTERI BESAR KELANTAN SEMPENA SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN 2016

Firman Allah S.W.T:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَن يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنكُمْ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

MAKSUDNYA: Wahai orang-orang yang beriman, kenangilah nikmat Allah yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu ketika kaum Musyrikin yang memusuhi kamu menghulurkan tangan untuk menyerang kamu, lalu Allah menahan tangan mereka daripada menyerang kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah orang-orang yang beriman berserah diri. (Al-Maidah: 11)

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa pada saat perutusan Nabi Muhammad SAW, umat manusia berada dalam kegelapan dan kejahilan. Mereka menjadi hamba kepada hawa nafsu dan sesat dalam mencari hala tuju kehidupan.

Golongan yang kuat bermaharajalela merebut kuasa dan merampas takhta. Golongan bijak pandai meracuni minda menyebarkan fahaman khurafat. Golongan yang lemah terus dijajah sementara kezaliman terus mencengkam masyarakat.

Rasulullah SAW memainkan peranan memerdekakan masyarakat Arab dan manusia umumnya daripada segala bentuk penjajahan. Hasil usaha Baginda SAW berjuang membebaskan tanah air daripada penjajahan Thaghut, maka Allah telah kurniakan dengan suatu pembukaan dan kemenangan yang besar di Kota Mekah.

Sementara pada zaman kepesatan teknologi maklumat pada hari ini, penjajahan datang dalam pelbagai versi tidak sama seperti dahulu, penjajah datang dengan kapal perang dan senjata.

Sekarang mereka menyelinap masuk menerusi senjata media baru. Arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan kini, adalah lebih mudah untuk mereka yang tidak bertanggungjawab mempengaruhi dan mengawal kuasa politik, ekonomi dan sistem sosial umat Islam.

Oleh sebab itu, umat Islam perlu kembali merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan hidup bermasyarakat dan bernegara supaya zaman jahiliah dan kuasa penjajah tidak mudah bertapak dalam dunia umat Islam.

Mengambil semangat Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, marilah kita jalinkan hubungan yang harmoni sesama kaum di negeri dan negara kita dengan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Walaupun pegangan agama dan adat resam yang berlainan, namun ia tidak bererti kita menjadikan perbezaan tersebut sebagai asas permusuhan sesama kaum.

Alhamdulillah, di Negeri Kelantan Darulnaim, semangat toleransi dan bergandingan bahu antara kaum Cina, Siam, India dan Melayu sentiasa dipupuk dalam semua agenda pembangunan masyarakat dan negeri.

Kita tidak mahu rakyat terjajah dengan sebab permusuhan sesama sendiri akan tetapi kita berusaha mewujudkan sebuah kemerdekaan yang hakiki demi mencapai negeri yang disifatkan Allah sebagai;

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُور ٌ

“Negeri Yang Sejahtera Dan Tuhan Yang Mengampuni Masyarakatnya”.

USTAZ DATO’ HAJI AHMAD BIN YAKOB
Menteri Besar Kelantan
26 Zulkaedah 1437/29 Ogos 2016 – HARAKAHDAILY 29/8/2016

Share on Myspace