Pemuda PAS Perak kecam anugerah JAG dan GEI

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengecam tindakan Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI) di atas penghinaan terhadap Mufti Perak, SS Tan Sri Harussani Zakaria dalam acara yang berlangsung di Petaling Jaya, semalam.

Tindakan mereka yang menamakan SS Mufti Perak sebagai 'pemenang' Anugerah Aiyoh Wat Lah kategori 'menghina intelektual' adalah satu perbuatan biadab dan menunjukkan bahawa merekalah golongan yang menghina intelektual atas kejahilan mereka.

SS Tan Sri Harussani berhujah atas ilmu dan kebenaran. Hujah yang dikeluarkan dalam isu tiada konsep rogol dalam perkahwinan adalah bertepatan dengan perihal munakahat berlandaskan syarak.

DPPN Perak memandang serius di atas kekerapan penghinaan demi penghinaan terhadap agama oleh beberapa NGO dan individu atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. Tindakan mereka jelas menunjukkan kurangnya kefahaman terhadap Islam malahan lebih parah apabila ada yang mula menentang Islam secara terang.

Sehubungan itu, DPPN Perak mendesak kerajaan agar menangani penyebaran fikrah songsang yang semakin parah ini. Serangan pemikiran ini menatijahkan kesan yang buruk kepada umat Islam di Malaysia khususnya di Perak.

DPPN Perak juga bersedia untuk bersemuka dengan pihak berkenaan bagi merungkai segala kekusutan. Malahan DPPN Perak juga menyatakan kesediaan untuk berdialog, diskusi dan bertemu mana-mana pihak yang ingin mendapat penjelasan tentang Islam juga perjuangan PAS.

DPPN Perak turut menyeru kepada semua pihak supaya berani tampil untuk membela Islam. Dalam masa yang sama seluruh umat Islam diingatkan untuk bersatu dalam perjuangan memartabatkan Islam dan menerapkan cara hidup berlandaskan Islam baik dalam pentadbiran, politik, perundangan, ekonomi, munakahat dan muamalat demi membina Malaysia yang sejahtera.

"Inilah Penyelesaian Kita"
"Bertekad Melebar Muafakat"
"Pemuda Istiqamah Peneraju Kemenangan"

Mohd Akmal Kamaruddin
Ketua Dewan Pemuda PAS Perak
26 Zulkaedah 1437 / 29 Ogos 2016 - HARAKAHDAILY 29/8/2016

Share on Myspace