Sampai bila Terengganu mahu jadi lebai malang?

HARAKAHDAILY | .

ISU hak negeri Terengganu sebagai pengeluar petroleum sudah kita bangkitkan berkali-kali secara konsisten bertahun-tahun.

Soalnya rakyat Terengganu dan pemimpinnya punya ketegasan pendirian atau tidak di atas prinsip ini?

Atau masih punya penyakit inferiority complex atau rendah diri yang kronik. Bangsa yang berjaya mereka perjuang hak mereka dan mencari cari jalan dan alasan untuk melakukkannya.

Bukannya berdolak dalik dan mencari helah untuk berlepas diri daripadanya. Mementingkan kepentingan peribadi mengatasi rakyat dan negeri.

Singapura pernah dilihat tidak punya peluang langsung dari segi hujahan dalam kes tuntutan Pulau Batu Putih. Kerajaan Malaysia pamerkan kepada rakyat ketika itu kononnya tuntutan Singapura tidak berasas.

Sekarang setelah keputusan mahkamah, apa standard dakwaan Malaysia kononnya kes kita kuat sangat? Bukan setakat mereka dapat pulau batu 'dua butir' itu. Ia datang bersekali wilayah maritim dan Zon Ekonomi Eksklusif yang beratus batu nautika keluasannya.

Dalam kes saman Royalti Terengganu yang ditarik balik oleh pimpinan Umno konon yang penting dapat 'pitih'. Tidak kiralah namanya ehsan, dana khas pun (yang implikasinya sangat besar!).

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas yang mengetuai pasukan peguam yang mewakili Terengganu telah berucap ditempat awam mendedahkan saman itu telah berpihak kepada Terengganu pada pusingan pertama hingga kerajaan Malaysia melambatkan proses selanjutnya yang dipercayai ada pujuk-memujuk, lobi memperdaya yang tiba-tiba pelantikan Ahmad Said sebagai MB baru dan penarikan tiba-tiba saman royalti.

Ada beza antara royalti dan ehsan. Seperti mana ada bezanya peminta sedekah dengan rakan kongsi yang mempunyai hak. Begitulah bezanya konotasi antara 'merayu' dengan 'menuntut'.

Akhir-akhir ini DS Ahmad Said sendiri mendedahkan Terengganu diperdaya oleh Umno pusat. Sampai bila Terengganu mahu terus jadi lebai malang?

Di ambang sambutan merdeka kita masih belum merdeka minda, berjiwa hamba.

AHMAD AMZAD HASHIM
30hb Ogos 2016 – HARAKAHDAILY 30/8/2016

Share on Myspace