Hina mufti: Pemuda PAS Perak sedia semuka JAG, GEI

ZULHAFEEZ AHMAD ZAHIDI | .

IPOH: Pemuda PAS Perak bersedia bersemuka dengan Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI).

Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata demikian, ketika sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Perak, hari ini.

Pada 28 Ogos 2016, dalam majlis Anugerah Aiyoh Wat Lah bersama sebuah universiti swasta yang berlangsung di V Square, Petaling Jaya, SS Mufti Perak dinamakan sebagai 'pemenang' Anugerah Aiyoh Wat Lah kategori 'ucapan tidak masuk akal' kerana Hadis yang dibacakan oleh Mufti Perak, Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang isteri itu belum menunaikan hak Allah selagi dia tidak menunaikan hak suaminya, jika suami berhajat kepadanya sedangkan dia berada di belakang tunggangan, maka janganlah dia menolak.” (Hadis riwayat at Thabarani, Ahmad, Ibnu Majah)

Tambahnya, kejahilan JAG dan GEI telah mempermainkan hadis tersebut jelas menunjukkan satu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan Mufti Perak.

"SS Tan Sri Harussani berhujah atas ilmu dan kebenaran bahkan hujah yang dikeluarkan dalam isu tersebut tiada konsep rogol dalam perkahwinan adalah bertepatan dengan perihal munakahat berlandaskan syarak.

"JAG dan GEI  terlalu biadab dan menghina keilmuwan dan intelektual Mufti Perak yang dilantik oleh Sultan Perak.

"Pemuda PAS Perak memandang serius diatas penghinaan terhadap Rasulullah SAW, malahan penghinaan terhadap agama oleh beberapa NGO dan individu atas nama kebebasan bersuara serta hak asasi manusia semakin kerap," ujarnya.

Akmal menyatakan bahawa tindakan mereka jelas menunjukkan kurangnya kefahaman terhadap Islam dan lebih parah apabila ada pihak semakin berani tampil menentang Islam secara terang.

Beliau mendesak agar kerajaan menangani isu dengan segara supaya ia tidak menular sehingga menjadi perkara biasa dalam masyarakat.

Beliau menyeru kepada semua pihak supaya berani tampil untuk membela Islam dan bersatu dalam perjuangan memartabatkan Islam demi menerapkan cara hidup berlandaskan Islam  sama ada dalam pentadbiran, politik, perundangan, ekonomi, munakahat dan muamalat demi membina Malaysia yang sejahtera. – HARAKAHDAILY 30/8/2016

Share on Myspace