Fasa keluar, hapuskan guna merkuri di sektor kesihatan

SM MOHAMED IDRIS | .

Merkuri adalah neurotoksin kuat yang boleh memberi kesan kesihatan yang berpanjangan. Dua kes tumpahan merkuri telah dilaporkan minggu lalu. Satu tumpahan berlaku di Klinik Kesihatan Merchang dan kejadian lain dilaporkan berlaku di Klinik Desa Rusila, kedua-duanya di Terengganu.

Walau bagaimanapun, mungkin terdapat lebih banyak kes tumpahan dalam fasiliti kesihatan, sekolah dan rumah yang tidak dilaporkan.

Pekerja di sektor kesihatan boleh terdedah kepada merkuri melalui termometer pecah dan sphygmomanometers (peranti tekanan darah) yang tidak diselenggara dengan baik.

Selain itu, doktor gigi dan anggota pergigian yang bekerja dengan amalgam gigi mengandungi merkuri, juga terdedah kepada wap merkuri. Pelupusan yang tidak sempurna skrap amalgam juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Memandangkan masalah kesihatan umum yang signifikan, beban penyakit termasuk dalam kalangan pekerja kesihatan dan pencemaran alam sekitar di peringkat global, Konvensyen Minamata mengenai merkuri telah diterima pada tahun 2013. Malaysia telah menandatangani Konvensyen Minamata pada 24 September 2014.

Dalam sektor kesihatan, Konvensyen Minamata menetapkan tarikh fasa keluar iaitu tahun 2020 bagi kebanyakan produk yang mengandungi merkuri termasuk termometer merkuri dan sphygmomanometers dan juga untuk fasa keluar penggunaan amalgam gigi.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dalam surat bertarikh 3 Jun 2013 kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menyatakan bahawa pada dasarnya Kementerian Kesihatan menyokong kawalan dan program fasa keluar produk mengandungi merkuri seperti yang dinyatakan dalam Konvensyen Minamata.

Kami sukacita dengan komitmen Kerajaan menggalakkan penggunaan bahan bebas merkuri dalam sektor kesihatan tetapi berpendapat bahawa tindakan yang diambil perlu ditingkatkan agar kita mencapai matlamat dengan lebih cepat.

Dari segi penggunaan amalgam gigi, pelbagai langkah telah dicadangkan dalam konvensyen. Selain menghadkan penggunaan amalgam gigi kepada bentuk encapsulated (terkandung), kerajaan perlu meningkatkan penggunaan alternatif yang bebas merkuri yang berkesan dari segi kos dan klinikal untuk pemulihan pergigian. Alternatif kepada amalgam gigi yang berkualiti dan selamat perlu dipertimbangkan dan dipromosikan.

Sektor kesihatan mempunyai peranan penting untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan penggunaan merkuri dan bergerak ke arah matlamat penjagaan kesihatan yang bebas merkuri.

Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk mempercepatkan langkah-langkah dan strategi untuk menangani isu pencemaran merkuri dan rancangan tindakan pelaksanaan Konvensyen Merkuri Minamata. - HARAKAHDAILY 30/8/2016

Penulis ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Share on Myspace