Masjid di sekitar Makkah sentiasa penuh

ASLANI M | .

MAKKAH: Bumi kelahiran para anbia ternyata masih berkat dengan amalan agama. Ini dibuktikan setiap masjid di kota ini penuh sesak.

Selain Masjidilharam terdapat masjid-masjid kecil di sekitar kota suci ini.

Di sekitar Al-Misfalah yang terletak kira-kira 1 km terdapat tiga masjid di kawasan berdekatan.

Masjid tersebut yang lebih dikenali sebagai Pakistan juga sentiasa penuh dengan kehadiran jemaah.

Terletak kira-kira 100 meter dari Hotel Land Premium, tempat penginapan jemaah haji Malaysia, turut menjadi tumpuan setiap kali waktu solat.

Solat Zohor hari ini di masjid terbabit melimpah dengan kehadiran jemaah sehingga ada yang terpaksa solat di tempat letak selipar.

Sebahagian jemaah adalah bakal haji dari India, Pakistan, negara-negara Afrika dan Malaysia.

Masjid terbabit juga dijadikan tempat solat Jumaat. Tidak jauh dari situ turut terdapat dua lagi masjid.

Biarpun kekuatan dan penyatuan Islam atas satu fikrah kelihatan begitu gah namun aspek kebersihan agak ketinggalan.

Ini dapat dilihat pembungkus makanan dan tin boleh dilihat  di mana sahaja terutama kawasan kedai di sekitar al-Haram.

Bagaimanapun pihak kerajaan menempatkan ramai petugas bahagian kebersihan untuk mengutip kembali sampah yang dibuang.

Sementara itu dalam perkembangan lain tambang teksi ke Masjidilharam sebelum ini hanya SR10 telah meningkat kepada SR15.

Biarpun jarak hanya 850 meter namun kadar tambang meningkat mulai hari ini.

Keadaan itu kemungkinan jalan ke Masjidilharam banyak yang ditutup pihak keselamatan mulai hari ini berikutan peningkatan jemaah haji. – HARAKAHDAILY 30/8/2016

Share on Myspace