Nota kesal terhadap Pergerakan Pemuda Umno

AHMAD FADHLI SHAARI | .

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK), Nazman Che Ibrahim telah menyusun sidang media hari ini beberapa hari yang lepas. Ia merupakan satu detik bersejarah sekiranya berjaya dilaksanakan iaitu sayap-sayap anak muda di semua parti-parti yang dianggotai oleh masyarakat Melayu Islam di negeri ini iaitu PAS, Umno, PKR dan Amanah duduk semeja untuk bersetuju dengan satu tajuk yang penting. Kali ini tajuknya ialah sokongan terhadap Rang Undang-undang Akta 355.

Wartawan sudah dipanggil, dewan hotel sudah ditempah kerana menurut Pemuda Umno, sidang media lebih baik dibuat di lokasi berkecuali. Masa untuk termaktubnya peristiwa bersejarah inipun ditetapkan mengikut kesesuaian permintaaan dari Pergerakan Pemuda Umno.

Sepanjang saya sebagai Ketua DPPNK, belum pernah dewan hotel ditempah semata-mata untuk sebuah sidang media. Biasanya ia dibuat di bangunan DPPNK Syabab Point atau di mana-mana lokasi bersesuaian. Bahkan jika laporan polis dibuat, sidang media hanya dilaksanakan di tepi jalan sahaja. Hari ini, ratusan ringgit dibelanjakan untuk menyewa dewan hotel bagi memberi laluan kepada detik bersejarah, kelahiran DEKLARASI KOTA BHARU.

Tetapi rupa-rupanya semuanya adalah mimpi. Walaupun semuanya telah bersetuju untuk menyokong RUU355 ini, tetapi gagal untuk hadir ke sidang media hatta untuk menghantar wakil sekalipun. Saya faham jika Ketua AMK Kelantan dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan tidak hadir, kerana telah diketahui secara umum bahawa parti masing-masing belum memutuskan secara rasmi pendirian terhadap RUU355 ini. Boleh jadi bagi menghormati pendirian pucuk pimpinan, rombongan pemuda mereka tidak hadir. Alhamdulillah, Ketua AMK hadir kemudiannya walaupun sekadar untuk menurunkan tandatangan, ia sudah cukup baik.

Kesalnya saya ialah Pergerakan Pemuda Umno gagal untuk tunjuk muka. Bukankah Umno secara rasmi telah menyatakan sokongan terhadap RUU355 ini? Hari inilah peluang paling baik untuk kita bersalaman di hadapan kamera bagi menghiasi dada akhbar keesokan harinya. Bukankah Umno paling suka jika digambarkan bahawa PAS sedang berbaik dengan Umno?

Kenapa hari ini Pergerakan Pemuda Umno gagal untuk hadir walaupun pada awalnya telah sanggup? Saya tiada jawapan. Namun ia hanya menebalkan sangkaan tidak baik di kalangan masyarakat. Dan tertulislah nota kesal ini.
 
Di hujung perjalanan nanti, benarkah Umno akan memberi laluan kepada RUU355? Kita tunggu dan lihat. Adapun PAS, langkah kaki memartabatkan satu demi satu tuntutan syariat akan diteruskan. Biarpun hanya seorang diri memikul panji di tengah medan, percayalah PAS tidak akan berganjak dari kedudukan kakinya pada hari ini.

Bersama sokongan Umno atau tidak, ke hadapan PAS melangkah. - HARAKAHDAILY 30/8/2016

Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Share on Myspace