Mengangkat martabat kemedekaan dengan Islam

HARAKAHDAILY | .

Kemerdekaan negara ini bermakna Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan bebas daripada pemerintahan penjajah dan ia adalah antara nikmat terbesar yang dikurniakan Allah SWT kerana tanpanya, kita senantiasa dalam penguasaan orang asing.

Namun, kita meyakini kemerdekaan yang sebenar ialah kemerdekaan Islam yang hakiki, apabila seluruh insan bebas dari perhambaan sesama manusia dan hanya menjadi hamba kepada Allah semata-mata.

Rub'ie bin 'Amir apabila ditanya oleh Panglima tentera Parsi iaitu Rustum mengapa tentera Islam datang ke negaranya, beliau berkata:

إن الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن ضيق الدنيا إلى سعتها, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام.

"Allah s.w.t telah menghantar kami untuk membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat dan dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam."

Islam yang merdeka itu, bukan sahaja akan dinikmati oleh orang-orang Islam, tetapi juga rahmatnya melimpah kepada seluruh alam, termasuk kepada penganut agama lain.

Negara kita Malaysia telahpun menikmati kemerdekaan selama 59 tahun, sepatutnya kemerdekaan ini membawa rakyat Malaysia menjadi warganegara yang cintakan negara dan berbangga dengan identiti dan budaya yang begitu tinggi dengan nilai ketimuran dan keIslaman.

Tatkala mendapat kemerdekaan, penubuhan negara kita jelas melalui peruntukan Fasal 3 dalam perlembagaan, menjadi sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi persekutuannya.

Maka sudah tentu dan sepatutnya peraturan dan perundangan Islam, telah lama menjadi suatu akta yang dikanunkan seterusnya diamalkan dalam sistem perundangan negara sebagai suatu alternatif kepada rakyat yang beragama Islam.

Maka dengan itu, pembentangan pindaan Akta 355 di parlimen oleh Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru  Abdul Hadi Awang, sepatutnya disokong oleh semua ahli ahli yang berhormat sama ada Islam atau bukan, sebagai menghormati hak rakyat yang beragama Islam.

Sempena Hari Kemerdekaan tahun ini, marilah kita sama-sama berdoa agar pindaan itu akan berjaya kerana sesungguhnya ia akan mengangkat martabat kemerdekaan kepada rakyat malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Mewakili seluruh pemimpin, ahli dan penyokong di seluruh negeri Terengganu Darul Iman, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Kali ke-59.

Semoga Malaysia akan terus makmur dan harmoni.

PAS HARAPAN SEMUA
INILAH PENYELESAIAN KITA

Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka - HARAKAHDAILY 31/8/2016

Share on Myspace