Merdeka: Exco Selangor pimpin bacaan Asmaul Husna

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rahmat pembebasan daripada penjajahan dizahirkan dengan rasa syukur menerusi pembacaan Asmaul Husna pada Program Malaysiaku Merdeka.

Menariknya, pembacaan 99 nama Allah itu dipimpin oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib bersama hadirin di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, malam tadi.
 
Sebelumnya, bacaan tersebut diiringi kumpulan nasyid Soutul Amal bersama kanak-kanak Rohingya Subang dan pendakwah lainnya, selain nyanyian lagu Negaraku meraikan sambutan kemerdekaan ke-59 tahun.

Sementara itu, Zaidy ketika berucap dalam sambutan ambang kemerdekaan peringkat Taman Templer, berkata masyarakat perlu memahami konteks sebenar kemerdekaan.

Katanya, wujudnya stigma negatif dan tafsiran kurang tepat dalam kalangan masyarakat tentang pengertian kemerdekaan sebenar, dalam konteks tema kemerdekaan tahun ini, ‘Sehati Sejiwa’.

“Pengertian ‘Sehati Sejiwa’ itu sendiri bermaksud kita berpegang kepada janji Allah. Mudah-mudahan ianya akan terus menjadi iltizam sebagai bekalan untuk kita memerdekakan negeri kita,” katanya dipetik SelangorKini.

Katanya lagi, masyarakat Malaysia perlu mensyukuri nikmat keamanan dan tidak terus leka dengan nafsu duniawi dan melupakan tugas sebenar hidup di bumi Allah.

“Pastikan diri kita ini bebas dan merdeka daripada hawa nafsu dan godaan syaitan. Semoga kita mendapat keberkatan dan keredhaan Allah,” katanya.

Share on Myspace