Soal jawab lazim isu pindaan Akta 355

NASRUDIN HASSAN | .

SOALAN 1: Mengapa PAS bawa sekarang, seolah-olah ini prioriti dalam negara sedangkan masalah dalam negara begitu gawat seperti 1MDB, masalah kemiskinan di Kelantan, masalah perpecahan orang Melayu dan sebagainya?

Jawapan: Setiap masalah dalam negara memerlukan solusi yang tuntas. PAS berusaha dalam kapasiti yang sedia ada untuk menawarkan dan menyelesaikan masalah yang berlaku. Dalam politik, ekonomi, sosial, persekitaran, sukan dan budaya, PAS sentiasa bersuara untuk memberikan pandangan dan penyelesaian. Setiap masalah besar yang berlaku dalam negara, PAS sentiasa konsisten memperjuangkannya melalui pelbagai mekanisme dalam kerangka demokrasi dan undang-undang.

Kelantan adalah model perjuangan PAS menterjemahkan model kepimpinan dan pentadbiran Islam yang diperjuangkan. Bermula kepimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar sehinggalah sekarang, Kelantan tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat dan pembangunan material di samping terus mengguatkan usaha perlaksanaan syariat Islam sebagai merealisasikan kesyumulan Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Justeru masalah umat Islam khususnya berkaitan jenayah Syari’ah adalah kritikal terutama yang berkaitan dengan akidah dan kesusilaan. Oleh itu, PAS tampil mencadangkan agar pemasalahan ini boleh dikurangkan menerusi pemerkasaan bidang kuasa Mahkamah Syariah bagi kes-kes jenayah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 – Akta 355. Ini menunjukkan masalah-masalah negara cuba diselesaikan oleh PAS menurut kapasiti, peruntukan undang-undang, semangat demokrasi dan prioriti yang sewajarnya.

Soalan 2:   Apa jaminan RUU 355 ini tidak melibatkan orang bukan Islam?

Jawapan: Akta 355 dan RUU Pindaan Akta 355 ini tidak melibatkan orang bukan Islam. Seksyen 2 Akta 355 menyatakan,

“Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis”.

Usul persendirian YB Ahli Parlimen Marang juga salah satunya adalah untuk menggantikan Seksyen 2 Akta 355 iaitu,

“Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-undang Persekutuan.”

Ertinya ia adalah jaminan Perlembagaan Persekutuan di mana  Pindaan Akta 355 ini tidak akan melibatkan orang bukan Islam.  Ia jelas termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, Butiran 1 Senarai II - Senarai Negeri.

" ..... yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam ...."

Melainkan orang bukan Islam sendiri bersetuju untuk meminda Perlembagaan Malaysia dengan 2/3 majoriti.

Soalan 3 : Apa perlunya ada dua set undang-undang, satu untuk orang Islam, satu untuk orang bukan Islam?

Jawapan: Ia melibatkan ‘historical context’ dan usaha mereformasikan perundangan di Malaysia. Zaman pra-penjajahan. Penjajahan dan pasca penjajahan telah memberikan kesan kepada sistem perundangan dan institusi mahkamah di Malaysia. Tambahan pula, adalah menjadi kewajiban dan hak bagi umat Islam untuk mendapatkan perlindungan dan tuntutan menerusi sistem perundangan Syariah sepertimana yang telah diiktikadkan dalam Islam.

Undang-undang Islam disifatkan sebagai ‘lex loci’ atau ‘law of the land’ tetapi telah diselewengkan oleh penjajah apabila mereka memperkenalkan Common Law sejak Perjanjian Pangkor 1786.

Sehingga ke satu peringkat, umat Islam pula yang terpaksa mempertahankan undang-undang Syariah daripada ‘diganggu’ oleh undang-undang sivil. Kes ini boleh dirujuk kepada usaha yang dilakukan oleh Almarhum Profesor Dr Ahmad Ibrahim dalam menaiktaraf kedudukan Mahkamah Syariah dengan memasukkan peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, peruntukan ini tidak menjejaskan hak bukan Islam di Mahkamah Sivil.

Justeru itu, dua set undang-undang atau dua sistem ini adalah ketetapan perlembagaan sejak merdeka. Namun ia juga bukan suatu yang pelik sebab bukan sahaja negara kita tetapi jugak berlaku di negara lain seperti Kanada.

Soalan 4: Mengapa YB Ahli Parlimen Marang tidak terus bentang pada hari berkenaan sebaliknya memohon tangguh ke sidang Parlimen akan datang?

YB Ahli Parlimen Marang diberi peluang membentangkan usul persendirian pada 26 Mei 2016. Ia adalah hari terakhir sidang Parlimen bagi Penggal Keempat Mesyuarat Kedua sebelum mesyuarat kembali bersidang pada bulan Oktober 2016.

Langkah ini adalah untuk membuka peluang kepada ahli-ahli parlimen yang lain membuat persediaan dan persiapan wajar untuk berbahas (seperti yang diminta sendiri oleh MP pembangkang yang lain). Juga untuk membuka ruang yang luas kepada aktiviti dakwah dalam memberi kefahaman kepada masyarakat tentang perlaksanaan syariat.

Secara tidak langsung, ia memberi ruang kepada pendidikan politik dalam kalangan rakyat untuk berbincang, meneliti dan seterusnya menyokong usaha tersebut.

Tindakan YB Ahli Parlimen Marang juga selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15 (5) iaitu;

“Usul seseorang yang bukan ahli Kerajaan yang telah dicadangkan dalam sesuatu mesyuarat tetapi belum putus, apabila pencadangnya memberitahu hendak disambung dalam mesyuarat akan datang, hendaklah didahulukan daripada usul-usul lain yang hendak dibawa oleh ahli yang bukan ahli kerajaan”.

Soalan 5: Mengapa usul ini tidak dibawa oleh kerajaan, sebaliknya pihak kerajaan hanya menyokong usul tersebut dibentangkan sahaja?

Jawapan: PAS komited memperjuangkan Islam dalam segenap sudut. Contohnya, sejak PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990, Kerajaan Negeri telah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 pada bulan November 1993. Hal ini membuktikan PAS sentiasa mengambil inisiatif untuk bergerak maju ke hadapan untuk memartabatkan Islam.

Akta 355 digazetkan pada tahun 1965 dan kali terakhir ia dipinda pada tahun 1984. Ia hanya meminda perkara atau hukuman yang kecil sesuai dengan keadaan pada waktu itu.

Asalnya merupakan permohonan kerajaan negeri Kelantan kepada Kerajaan pusat untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan. Setelah mendapat nasihat daripada Jawatankuasa Teknikal, kerajaan PAS  Kelantan bersetuju melaksanakan syariat setakat mana yg dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan iaitu dengan meminda Akta 355.

Tiga puluh tahun selepas pindaan terakhir pada tahun 1984, sekali lagi PAS mengambil langkah ke hadapan untuk mengusulkan pindaan tersebut. Bahkan, langkah tersebut dibenarkan menurut lunas perundangan dan demokrasi.  

Soalan 6: Apa jaminan usul ini akan dibenarkan untuk dibahaskan pada sidang Parlimen akan datang?

Jawapan: Peraturan Mesyuarat 15 (5) Dewan Rakyat menyatakan, iaitu;

“Usul seseorang yang bukan ahli Kerajaan yang telah dicadangkan dalam sesuatu mesyuarat tetapi belum putus, apabila pencadangnya memberitahu hendak disambung dalam mesyuarat akan datang, hendaklah didahulukan daripada usul-usul lain yang hendak dibawa oleh ahli yang bukan ahli kerajaan”.

Perkara tersebut juga telah termaktub dalam Penyata Rasmi Dewan Rakyat bertarikh 26 Mei 2016.

PAS yakin usul ini akan dibahaskan dalam sidang Parlimen akan datang. Rakyat pelbagai peringkat juga telah berbahas perkara ini secara meluas. Secara tidak langsung, ia telah membentuk mood yang baik dalam kalangan rakyat. Walau bagaimanapun, PAS menyerahkan perkara yang bakal berlaku kepada Allah SWT.

Soalan 7: Tidakkah RUU 355 ini bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

Jawapan: Akta 355 adalah diwujudkan melalui peruntukan perlembagaan persekutuan (Akta Mahkamah Syariah - Bidang Kuasa Jenayah 1965) Memindanya pula adalah mengikut peraturan dewan rakyat yang dibenarkan oleh perlembagaan persekutuan juga

Soalan 8: Apakah RUU 355 ini hudud atau berkaitan dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan?

Jawapan: Berdasarkan pembentangan usul yang dikemukakan oleh YB Ahli Parlimen Marang di Dewan Rakyat pada 16 Mei 2015, beliau mencadangkan agar Seksyen 2 digantikan dengan Seksyen berikut, iaitu;

“Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Undang-Undang Persekutuan”.

Selain itu, beliau juga mahu memasukkan seksyen baru iaitu Seksyen 2A, iaitu,

“Dengan menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain dari hukuman mati”.

Justeru itu, Pindaan Akta 355 hanya akan melibatkan perlaksanaan hukuman ke atas bentuk kesalahan yang telah sedia ada dalam Akta 355 dengan jumlah hukuman yang menepati piawaian undang-undang Syariah.

Soalan 9: Adakah PAS yakin bahawa PAS tidak akan ditipu oleh Umno dalam konteks RUU 355 ini?

Jawapan: PAS berpegang kepada firman Allah SWT:

وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
وَإِن يُرِيدُوا أَن يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ

“Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, dan engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Dan jika mereka hendak menipumu, maka cukuplah Allah bagimu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongan-Nya dan bantuan daripada orang-orang yang beriman.” (Surah al-Anfal, ayat 61 dan 62)
 
Soalan 10: Seandainya Pindaan Akta 355 ini diluluskan, bersediakah agensi-agensi pelaksana undang-undang di negara kita?

Jawapan: PAS yakin bahawa setiap undang-undang yang digazetkan akan disusuli dengan pelbagai tindakan lain untuk dikuatkuasakan. Oleh itu, semua agensi yang terlibat akan turut sama menjayakan agenda Akta 355 ini nanti. Setiap agensi pelaksana akan sentiasa melakukan perubahan-perubahan yang dinamik selari dengan kehendak perundangan. – HARAKAHDAILY 31/8/2016

Share on Myspace