Zika: KKM nasihat rakyat jaga kebersihan

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan telah menerima satu kes Zika pertama pada 31 Ogos daripada seorang wanita berumur 58 tahun yang menetap di Klang, Selangor.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, wanita itu merupakan ibu kepada pesakit  yang disahkan dijangkiti Zika di Singapura.

Katanya, pesakit bersama suaminya telah melawat anak perempuannya di Singapura pada 19 Ogos 2016 dan pulang ke Malaysia pada 21 Ogos lalu.

"Pesakit mula mendapat gejala ruam pada 28 Ogos dan 30 Ogos, pesakit telah mendapatkan mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Klang. Pada hari yang sama pesakit dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan hasil pemeriksaan ujian kencing pesakit pada 31 Ogos adalah positif Zika Virus," katanya dalam satu kenyataan.

KKM telah memulakan kawalan vektor di kawasan kediaman kes dan tempat-tempat yang telah dilawati pesakit, aktiviti kawalan termasuklah menghapuskan tempat pembiakan aedes dan semburan kabus.

Di samping itu, katanya, kontak terdekat pesakit diperiksa dan dipantau sama ada mereka mengalami demam atau simptom Zika yang lain.

Maklumat yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Singapura terdapat lima rakyat Malaysia yang menetap di Singapura juga disahkan dijangkiti virus Zika.

Bagi tempoh 27 sehingga 31 Ogos 2016 terdapat 115 kes dilaporkan di Singapura, memandangkan virus ini cepat merebak pemantauan dan aktiviti pencegahan aedes diteruskan serta ditingkatkan di semua negeri terutama Johor dan Selangor.

Justeru, katanya rakyat Malaysia perlu fokus kepada membersihkan tempat-tempat pembiakan aedes, melindungi diri mereka daripada gigitan nyamuk dan mendapat pemeriksaan awal sekiranya terdapat tanda-tanda demam, ruam dan conjunctivitis.

KKM menyeru sekali lagi kepada mana-mana individu yang melawat negara yang mempunyai jangkitan Zika untuk tampil membuat pemeriksaan segera apabila mereka mengalami simptom berkenaan. – HARAKAHDAILY 1/9/2016

Share on Myspace