Penjaga Masjid Suci Makkah agih makanan percuma

ASLANI M | .

MAKKAH: Sejak beberapa hari lepas jemaah haji berpeluang mendapat makanan percuma yang disumbang pemerintah Arab Saudi.

Sebuah treler dan dua lori kecil memuatkan makanan yang diisi dalam kotak, sedia menanti orang ramai di bawah jalan bertingkat di Al-Misfalah.

Orang ramai terpaksa beratur panjang sebelum mendapat bungkusan makanan tersebut. Sebuah lorong kecil disediakan bagi memudahkan agihan makanan dilakukan.

Pengagihan makanan dilakukan daripada pagi sehingga petang dikendali petugas dilantik.

Suasananya agak hiruk pikuk di mana petugas mengarahkan mereka yang beratur sahaja diberi bungkusan makanan terbabit.

Bungkusan makanan berkenaan disediakan Saudi catering termasuk nasi Arab, snek, kek, biskut, air minuman dan air kotak.

Makanan tersebut dihadiahkan pemerintah Arab Saudi yang menjaga dua masjid suci iaitu Masjid Nabawi dan Masjidilharam.

Selain diagih di laluan ke Masjidilharam, bungkusan makanan juga diagih di Jalan Hijrah yang menghubungkan Madinah dan Makkah.

Menurut Harian Makkah, sebanyak sejuta bungkusan disediakan pada musim haji tahun ini.

Ketua program berkenaan Faiz Thalib Ahmadi berkata sebanyak 120 badan dalam Lembaga Sosial Madinah terlibat dalam program tersebut.

"Sebanyak 20,000 bungkusan makanan diagih pada setiap hari," katanya seperti dilapor tabloid Makkah yang berbahasa Indonesia.

Seorang jemaah haji dari Malaysia Mat Saud Awang, 62,  (Gambar) berkata program pengagihan makanan percuma tersebut sebagai hadiah kepada tetamu Allah yang datang dari seluruh dunia.

"Biarpun terpaksa beratur panjang namun makanan yang diberi memberi makna besar, lebih-lebih lagi daripada pemerintah sendiri," ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/9/2016

Share on Myspace