Jangan jadikan perbezaan punca permusuhan

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KETEREH: Sambutan Hari Kemerdekaan Kali ke-59 2016 peringkat negeri Kelantan pertama kalinya diadakan di luar pusat bandar iaitu di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam.
 
Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob itu merupakan kemuncak daripada Pelancaran Kibaran Jalur Gemilang pada 16 Ogos lalu di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV.
 
Selain itu ia juga merupakan rentetan dari acara solat hajat dan doa selamat yang dipimpin oleh Pegawai Agama Daerah Tanah Merah, Saidon Islam di Masjid Muhammadi di sini.
 
Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis itu menyeru masyarakat di negeri itu  tidak mengira latar belakang kaum dan agama agar dapat menjalinkan hubungan yang harmoni antara satu sama lain.
 
"Walaupun pegangan agama dan adat resam berlainan, namun tidak bererti kita menjadikan perbezaan ini sebagai asas permusuhan sesama kita," katanya.
 
Beliau berkata, kerajaan negeri mengamalkan semangat toleransi antara empat kaum besar di Kelantan  Melayu, Cina, India dan Siam.
 
Katanya, mereka mendapat tempat menerusi agenda pembangunan masyarakat di negeri itu.
 
Kerajaan negeri katanya, tidak mahu masyarakat terus terjajah disebabkan permusuhan sesama sendiri, walaupun pemerintahan berusaha mewujudkan kemerdekaan hakiki.
 
"Itulah yang disifatkan oleh Allah dalam al-Quran sebagai 'Sebuah Negeri yang sejahtera dan masyarakatnya mendapat keampunan dari Tuhan-Nya," jelas beliau.
 
Sebanyak 59 kontinjen mengambil bahagian dalam perarakan merdeka yang membabitkan agensi kerajaan negeri Persekutuan.
 
Antaranya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Risda, Tentera Darat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan lain-lain lagi.
 
Turut diadakan pembacaan puisi kemerdekaan, anugerah perbarisan terbaik yang dimenangi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI).
 
Lebih 2,000 rakyat Kelantan hadir bersama anggota keluarga masing-masing untuk meraikan kemerdekaan negara sempena cuti umum itu.
 
Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 1/9/2016

Share on Myspace