Hartanah: Polisi baru S'gor lebih rendah dari negeri BN

HARAKAHDAILY | .

Saya menasihatkan seorang Ahli Parlimen BN yang lantang mengecam polisi baru kerajaan negeri yang melibatkan pangsapuri perkhidmatan (service apartments), SOHO (small office home office) dan SOVO (small office versatile office) agar mendapat semua maklumat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Jika tidak beliau akan dilihat sebagai hanya berminat bermain politik dan bukan bersungguh-sungguh untuk membela nasib kaum Bumiputera.

Polisi yang baru diumumkan kerajaan negeri Selangor melibatkan hartanah yang dibina di atas tanah berstatus perniagaan.

Sebelum ini harga jualan hartanah tersebut seperti SOHO dan SOVO melebihi RM450,000.

Tetapi menurut polisi baru, pemaju-pemaju diwajibkan membina unit-unit mampu milik di antara RM230,000 hingga RM270,000.

Oleh yang demikian, polisi yang baru ini telah mewujudkan unit-unit yang jauh lebih murah yang mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah tanpa mengira kaum.

Sebab kenapa diskaun tambahan untuk Bumiputera tidak diberikan adalah kerana perbezaan yang besar di antara harga unit mampu milik dan bukan mampu milik.

Tambahan pula harga asal unit-unit mampu milik yang dipersetujui ketika rundingan dengan para pemaju adalah lebih tinggi. Tetapi kerajaan negeri menetap harga yang lebih rendah agar semua pembeli mendapat diskaun.

Saya tidak faham mengapa polisi ini menindas kaum Bumiputera seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen tersebut. Polisi yang baru ini menawarkan mereka unit-unit yang lebih murah dari unit-unit biasa. Perbezaan sehingga RM270,000.

Selangor adalah negeri yang pertama mewujudkan polisi sedemikian. Tidak ada negeri BN yang telah meluluskan polisi sedemikian. Kaum Bumiputera masih perlu membeli unit-unit biasa kerana tidak ada unit-unit mampu milik seperti di Selangor. Oleh itu kaum Bumiputera di negeri-negeri BN yang tertindas. Kerajaan negeri-negeri BN yang patut beliau kecam bukan kerajaan negeri Selangor.

Ingin ditegaskan di sini polisi ini adalah berbeza dari polisi Rumah Selangorku yang dibina di atas tanah berstatus kediaman.

Harganya masih di antara RM42,000 hingga RM250,000 walaupun kerajaan Persekutuan membenarkan rumah mampu milik sehingga RM300,000.

Sasaran hartanah di bawah polisi baru ini adalah berbeza dari sasaran bagi Rumah Selangorku maka sebab itu harganya lebih tinggi dari Rumah Selangorku.

Apa guna adanya diskaun Buniputera jika harga satu unit hartanah adalah RM500,000 dan tidak mampu dibeli oleh kaum Bumiputera walaupun setelah diberi 10 peratus diskaun?

Lebih baik tidak ada diskaun tetapi harganya di antara RM230,000 hingga RM270,000 yang mampu dimiliki oleh kaum Bumiputera.

Kuota Bumiputera bagi setiap projek masih dikekalkan untuk memastikan peratusan pemilikan Bumiputera tidak terhakis.

Saya harap Ahli Parlimen tersebut dapat belajar semula apa itu pangsapuri perkhidmatan, SOHO, SOVO, polisi Rumah Selangorku dan Kanun Tanah Negara sebelum membuka mulut atau kejahilan beliau akan terserlah.

DATUK ISKANDAR A SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor.

Share on Myspace