Jerebu: Malaysia perlu tegas terhadap Indonesia

HARAKAHDAILY | .

Kerajaan Malaysia mesti bertindak tegas dalam menangani isu jerebu yang kini seolah-olah menjadi musim tahunan di negara ini.

Tahun lalu, kebakaran hutan di Indonesia menyebabkan jerebu rentas sempadan yang serius melanda negara ini. Jerebu yang dibawa angin Monsun Barat Daya itu memburukkan lagi keadaan di negara ini. Masalah ini tidak sekadar mencemarkan alam sekitar bahkan menjejaskan kesihatan serta aktiviti harian rakyat di negara ini.

Setakat Sabtu lalu, 6 wilayah di Indonesia telah diisytiharkan darurat berikutan keadaan jerebu yang teruk sehingga mula menjejaskan Singapura dan selatan Malaysia. Keadaan ini dijangka akan bertambah buruk sehingga Oktober akan datang.

Rakyat tidak mahu Kerajaan sekadar menyiarkan indeks pencemaran udara dan jika teruk, disusuli dengan pengumuman penutupan sekolah atau universiti tanpa pelaksanaan langkah-langkah berkesan bagi memastikan Indonesia benar-benar menunaikan janjinya terhadap Malaysia untuk menangani pembakaran terbuka yang berlaku di negara itu sejak beberapa tahun lalu lagi.

Kerajaan mesti menilai secara telus dan menyeluruh kos kesan jerebu ke atas negara ini dan mesti memasukkan aspek ini dalam mengadakan rundingan antara negara dengan Indonesia. Pampasan juga wajar dituntut daripada negara itu di atas pencemaran yang berlaku kepada negara ini.

Kerajaan juga perlu mengisytiharkan jerebu ini sebagai suatu jenayah yang melampau terhadap kemanusiaan kerana memudaratkan kesihatan dan mengancam nyawa manusia.

Wisma Putra mesti lebih tegas terhadap Indonesia dalam masalah ini. Jika tidak, ia akan terus berulang lagi pada masa hadapan.

Diharapkan juga Jabatan Alam Sekitar di bawah kuasa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Jawatankuasa Jerebu Kebangsaan dapat membuat tindakan segera yang lebih agresif selari dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan bagi membendung masalah ini.

"Inilah Penyelesaian Kita"

DATUK DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
1 September 2016 | 29 Zulkaedah 1437 - HARAKAHDAILY 1/9/2016

Share on Myspace