Hak masing-masing untuk pilih parti politik

MUHAMMAD ARIF ISMAIL | .

KOTA BHARU: Tindakan Datuk Husam Musa menyertai Parti Amanah Negara (PAN) tidak memberi kesan kepada PAS.
 
Timbalan Mursyidul Am, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, sebaliknya juga mengalu-alukan keputusan bekas Naib Presiden PAS itu kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.
 
Beliau juga turut  mendoakan kejayaannya (Husam) memimpin parti serpihan PAS berkenaan.
 
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Kelantan di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh, di sini semalam.
 
Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, penyertaan Husam bersama PAN tidak boleh menjadi ukuran terhadap kelemahan perjuangan PAS atau  kekuatan parti baru.
 
“Hanya pilihan raya yang boleh dijadikan ukuran.
 
"Tidak apa kalau beliau masuk untuk menguatkan PAN sebab semua parti di negara kita boleh bertanding. Kalau hendak tahu kuat atau tidak kuat, masuk bertanding dalam pilihan raya," katanya.
 
Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah pula menyifatkan tindakan tersebut sebagai hak peribadi Husam.
 
Katanya, PAS tidak ada hak untuk menghalang hasratnya itu apa lagi Husam bukan lagi ahli parti itu.
 
"Dia bukan lagi ahli PAS, jadi terserah pada dia hendak sertai parti mana.
 
“Malah kita harap dia sudah bertemu dengan pilihannya sendiri. Ia tidak memberi masalah kepada kita (PAS) lagi," katanya.
 
Sebelum ini, Husam dipecat keahlian PAS pada April lalu, susulan kelantangannya mengkritik presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama PAS-Umno. – HARAKAHDAILY 1/9/2016

Share on Myspace