PAS kehilangan tokoh muslimat yang sangat gigih

HARAKAHDAILY | .

Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) merakamkan rasa sedih dan dukacita yang mendalam di atas pemergian Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Puan Safinah Jusoh yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 10.35 pagi ini, Jumaat, 30 Zulkaedah 1437 bersamaan 2 September 2016.

Dengan pemergian beliau yang pernah dilantik menjadi Senator daripada 23 Disember 1999 hingga 22 Disember 2002, BPPNT kehilangan seorang tokoh muslimat yang sangat gigih di dalam perjuangan parti.

Sumbangan dan jasa beliau begitu besar, bukan hanya kepada PAS bahkan kepada kepada seluruh rakyat negeri Terengganu dan Malaysia amnya, selaku Ahli Dewan Negara yang sangat aktif, memberikan pandangan dan mengambil bahagian dalam setiap perbahasan.

Antara khidmat terakhir beliau ialah membantu pasukan kempen PAS pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar pada bulan Jun lalu, walaupun ketika itu beliau telah disahkan mengidap penyakit kanser dan berada dalam keadaan yang lemah.

Saya dan seluruh saf kepimpinan BPPNT serta ahli dan penyokong PAS Negeri Terengganu mengucapkan takziah kepada keluarga almarhumah.

Semoga Allah SWT mengampunkan semua dosa Almarhumah dan memberi pahala yang setingginya kepada Almarhumah atas segala kerja jihad dan khidmat yang telah beliau berikan dalam Dewan Muslimat dan sepanjang memegang jawatan sebagai ketuanya.

Semoga keluarga almarhumah tabah dan sabar di dalam menghadapi musibah ini.

Ustaz Satiful Bahri Mamat
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka
Jumaat 30 Zulkaedah 1437 / 2 September 2016. - HARAKAHDAILY 2/9/2016

Share on Myspace