Kes Zika jangkitan tempatan pertama di Malaysia

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima laporan satu kes jangkitan virus Zika tempatan yang pertama di Malaysia, semalam.

"Pesakit ini ialah seorang lelaki berbangsa Dusun berusia 61 tahun menetap di Taman Public Jaya Likas, Sabah," ujar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini, sebagaimana di bawah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima laporan satu kes jangkitan virus Zika tempatan yang pertama di Malaysia pada 2 September 2016. Pesakit ini ialah seorang lelaki berbangsa Dusun berusia 61 tahun menetap di Taman Public Jaya Likas, Sabah. Pesakit mula mengalami demam pada 27 Ogos 2016 dan mendapatkan rawatan pada kali pertama di Klinik Kesihatan Luyang pada 30 Ogos 2016. Pada 31 Ogos 2016, pesakit mengalami demam yang lebih teruk, sakit otot serta diarrhea, dan telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2.

Memandangkan pesakit juga mempunyai co-morbids iaitu menghidap penyakit tekanan darah tinggi, masalah pembuluh darah jantung, penyakit kronik buah pinggang, masalah batu karang dan penyakit gout, keadaan pesakit didapati agak serius ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital tersebut. Walau keputusan ujian dari Makmal Kesihatan Awam menunjukkan bahawa darah dan air kencing sampel pesakit didapati positif jangkitan Zika, namun keadaan pesakit yang agak serius kemungkinan bukan disebabkan oleh jangkitan Zika, tetapi disebabkan penyakit-penyakit lain yang dihidapi pesakit.

KKM sedang menyiasat selanjutnya sejarah perjalanan pesakit dalam tempoh kebelakangan ini. Adalah didapati bahawa besar kemungkinan jangkitan Zika ini berpunca dari jangkitan tempatan (memandangkan pesakit tidak pernah ke luar negara dalam tempoh kebelakangan ini dan kemungkinan telah digigit oleh nyamuk Aedes yang dijangkiti Zika). Berdasarkan maklumat terkini penemuan siasatan itu, KKM telah memulakan aktiviti kawalan vektor di kawasan perumahan pesakit dan tempat-tempat lain yang telah dilawati pesakit. Aktiviti kawalan yang dijalankan termasuk menghapuskan tempat pembiakan Aedes, larvaciding dan pengkabutan. Di samping itu, kontak dan kenalan rapat kepada pesakit akan diperiksa sama ada mereka mempunyai demam atau gejala Zika lain.

Maklumat terkini yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan Singapura, menunjukkan pada keseluruhanya terdapat 11 rakyat Malaysia disahkan dijangkiti Zika virus. Sepuluh (10) daripadanya tinggal dan bekerja di Singapura manakala seorang lagi bekerja di Singapura tetapi menetap di Johor.

Memandangkan virus Zika telah pun dikesan di negara ini, dijangkakan peningkatan kes Zika akan berlaku jika tindakan pencegahan tidak dilakukan oleh masyarakat dan semua pihak. Oleh itu, KKM sekali lagi ini menekankan bahawa kebersihan persekitaran tanpa tempat pembiakan Aedes, amalan mencari dan musnah tempat pembiakan Aedes setiap minggu oleh masyarakat dan melindungi diri dari gigitan nyamuk seperti penggunaan repelen adalah kaedah yang berkesan menghalang kejadian kes Zika. Tiada Aedes, tiada Zika dan Denggi.

Share on Myspace