Berakhir penantian peneroka Rancangan Revolusi Hijau

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Penantian para peneroka Rancangan Revolusi Hijau selama 17 tahun untuk menerima rumah berakhir apabila diberikan sijil kelayakan hak milik.

Tambah manis apabila sijil terbabit diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Galeri EcoWorld, Ijok, hari ini.
 
Ketua penduduk, Omar Basha, menyifatkan ia sebagai peristiwa istimewa apabila penantian 17 tahun itu terlaksana.

“Perasaan gembira menyelubungi hati saya hari ini apabila impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai jua melalui sokongan kerajaan negeri," katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berharap syarikat yang diberikan kepercayaan itu dapat menyiapkan rumah dalam tempoh yang ditetapkan.

“Apa yang menyedihkan lebih 100 penduduk sudah meninggal dunia dalam menanti rumah impian mereka.

“Saya juga meminta peneroka yang menerima rumah ini menjaga aset mereka dengan baik kerana bukan mudah memilikinya masa kini,” katanya yang mengucapkan berterima kasih kepada semua pihak kerana menerima permintaan penduduk.

Sementara itu, Miskam Sulaiman, 70, berharap dapat merasai tinggal di rumahnya sendiri sebelum ajal tiba.

“Sudah terlalu lama kami tunggu untuk rumah ini. Saya harap kali ini tidak tertangguh lagi," ujarnya.

Menurut beliau, ramai kawan-kawan terpaksa menyewa dan kembali ke kampung.

“Harapnya, dengan pemaju yang mempunyai rekod baik ini, rumah kami siap,” katanya.

Share on Myspace