Arafah menanti jutaan jemaah haji

ASLANI M | .

MAKKAH: Hanya seminggu lagi jemaah haji akan bergerak ke Arafah bagi memulakan ibadat haji.

Petang Sabtu kira-kira 23,000 jemaah Malaysia bersama jutaan lagi dari seluruh dunia akan menjejaki bumi Arafah.

Jemaah haji Malaysia yang sekarang menginap di tujuh maktab di sekitar Kota Makkah akan bergerak berperingkat-peringkat ke Arafah bagi menyempurnakan ibadat wukuf.

Difahamkan jemaah haji Malaysia akan bertolak ke Arafah selepas solat Asar mengikut maktab masing-masing.

Jemaah haji akan memakai ihram dan berniat haji di hotel, di tempat penginapan mereka sekarang sebelum bertolak ke Arafah.

Keistimewaan wukuf di Arafah turut dimanfaat kerajaan Kelantan apabila turut menganjurkan Hari Wukuf pada 9 Zulhijjah sejak 20 tahun lepas.

Bagaimanapun mulai tahun ini kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa sempena Hari Wukuf.

Sempena wukuf perkhidmatan kewangan Tabung Haji di maktab dihentikan sementara bermula 7 hingga 16 September.

Ini kerana petugas Tabung Haji turut berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Manakala taklimat mengenai masaie diadakan Tabung Haji di setiap maktab mengikut KT masing-masing.

Sementara itu perkhidmatan teksi ke Masjidilharam terpaksa melalui laluan lebih jauh kerana kesemua jalan ditutup.

Berikutan itu tambang teksi untuk ke Jarannah, tempat berniat ihram meningkat daripada SR50 kepada SR70.

Banyak sekatan jalan diadakan dan kenderaan awam dilencongkan ke laluan lain.

Kehadiran jemaah haji semakin ketara di mana ada dalam kalangan mereka tidur di masjid. Beg-beg pakaian boleh dilihat di tempat solat di Masjidilharam.

Hampir setiap tiang masjid ada beg jemaah haji tempatan dipercayai dijadikan tempat bermalam. – HARAKAHDAILY 3/9/2016

Share on Myspace