Pengisytiharan Sept 2016 sebagai Bulan RUU 355

HARAKAHDAILY | .

Usul persendirian YB Marang - Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bagi meminda Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) adalah satu detik penting di dalam usaha memperkasakan mahkamah syariah di Malaysia. Kita bersyukur di atas perkembangan ini namun usaha mesti digiatkan agar pindaan ini akhirnya dapat diwartakan. Maka tumpuannya kini adalah menggalakkan pemahaman terhadap usul pindaan ini, memastikan ianya dapat didebatkan secara wajar di Parlimen serta mengumpul sokongan khususnya dari kalangan ahli-ahli Parlimen untuk membolehkan pindaan ini diluluskan.

Atas keperluan tersebut, PAS memutuskan untuk mengisytiharkan bulan September 2016 sebagai Bulan RUU 355. Tujuan utamanya adalah untuk menggembeling kesatuan umat bagi seterusnya meyakinkan ahli-ahli parlimen untuk menyokong usul pindaan ini.
Sepanjang Bulan RUU 355 ini, siri jelajah penerangan akan diatur di setiap negeri. Kempen Facebook SokongPindaAkta355 akan terus digiatkan. Petisyen rakyat akan digerakkan di peringkat kawasan parlimen bagi menyerlahkan sokongan akar umbi sekali gus mendesak ahli-ahli Yang Berhormat parlimen untuk menyokong pindaan ini.

PAS juga akan berbincang dengan para mufti untuk mengambil pandangan dan nasihat mufti mengenai kewajipan menyokong pindaan Akta 355 oleh ahli-ahli Parlimen kelak.

Usaha memperkasa institusi mahkamah syariah adalah agenda yang melangkaui kepentingan politik partisan. Sekiranya 135 ahli parlimen Muslim di dalam Dewan Rakyat mengundi sebagai satu kaukus, maka usul pindaan ini dapat diluluskan dengan majoriti mudah.

Maka tidak dapat tidak, usul pindaan Akta 355 ini akan dinilai sebagai satu referendum bagi umat Islam di negara ini untuk menunjukkan kebersamaannya di dalam urusan yang khusus bersangkutan dengan ehwal Islam.

Sekiranya kebersamaan ini tidak dapat diterjemahkan dengan sokongan terhadap pindaan Akta 355 ini, maka kepimpinan umat Islam di dalam menentukan agendanya di negaranya sendiri akan terus dipersoal. Sekiranya itu yang terjadi, bukankah itu satu tragedi buat ummah?

#SokongPindaAkta355.
Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Share on Myspace