Umno T'ganu ibarat orang sedang lemas dalam air

HARAKAHDAILY | .

PAS Terengganu dapat membayangkan ketakutan yang amat sangat, sedang menyelubungi kem Umno Terengganu ketika ini bagi menghadapi PAS Terengganu pada PRU14 nanti, walaupun belum diketahui lagi bilakah tarikhnya.

PAS Terengganu mengambil maklum akan desakan Ketua Umno Bahagian Marang, A Latiff Awang kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam ucapan beliau pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Marang baru-baru ini, bagi Kementerian Pertahanan menyegerakan pembinaan kem tentera, lapangan terbang dan tempat latihan tentera di atas tanah seluas kira-kira 750 hektar di beberapa kawasan sekitar daerah Marang, adalah berdasarkan keperluan politik Umno sahaja, dan bukan bagi keselamatan negara.

Terengganu bukanlah negeri yang terletak berhampiran sempadan negara, tiada isu keselamatan, malahan telahpun ada satu kem untuk anggota FRU di Wakaf Tapai, berek polis Marang serta lapangan terbang Tentera Udara di Gong Kedak, Besut.

Umum mengetahui, Umno kebiasaannya akan menang jika adanya kem anggota keselamatan di situ dengan undi pos, sebagaimana Menteri Besar Terengganu, menang nasib dengan undi pos di Seberang Takir yang mempunyai dua kem anggota keselamatan. Maka jelas tiada keperluan untuk membina kem askar dengan segera, apatah lagi di Marang Terengganu, kecuali atas alasan pilihan raya, iaitu ingin mengalahkan Presiden PAS yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

Yang sepatutnya didesak oleh A Latiff kepada kerajaan pusat ialah pembinaan segera hospital daerah Marang, pusat-pusat pengajian tinggi serta cadangan membina Sekolah Sains Marang yang sehingga kini, papan tandanya sudah berkarat dan hampir roboh. Semua cadangan projek-projek ini adalah di Bukit Kor, Marang.

PAS Terengganu pernah beberapa kali mengemukakan soalan berkenaan status projek-projek cadangan tersebut di Dun, namun soalan-soalan itu ditolak, tanpa jawapan. Inilah projek-projek yang mesti disegerakan dan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih utama berbanding pembinaan kem askar di kawasan yang tiada keperluan mendesak. Dan selaku Exco Pendidikan, A Latiff sepatutnya memikirkan bagaimana mahu membantu pelajar-pelajar cemerlang anak Terengganu mendapat tajaan untuk belajar ke luar negara.

Oleh itu, PAS mengajak rakyat Terengganu menilai akan perbalahan dalam Umno sehingga kini amat parah kerana mereka sudah tidak yakin dengan kekuatan sendiri, sehinggakan terpaksa meminta bantuan daripada Kementerian Pertahanan untuk mereka mendapatkan lebih undi.

Umno ibarat orang yang sedang kelemasan di dalam air, terpaksa berpaut dengan apa sahaja yang melintas di hadapan mereka walaupun ranting yang rapuh kerana mereka sudah tidak mampu membawa diri, apatah lagi rakyat. Dan amat malang, apabila setiap kali mereka bercakaran sesama mereka, rakyat akan dimangsakan oleh mereka. Maka, rakyat Terengganu tiada pilihan lain untuk PRU14 nanti, kecuali membantu memenangkan PAS bagi memerintah Terengganu. Wallahua’lam.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
2 Zulhijjah 1437 / 4 September 2016 - HARAKAHDAILY 4/9/2016

Share on Myspace