RM20.4 juta untuk naik taraf Jalan Melati Kuang

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor meluluskan sejumlah peruntukan RM20.4 juta bagi tujuan menaik taraf pembinaan Jalan Melati Kuang, di daerah Gombak di Kuang

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib, berkata proses pembinaan dimulakan seawal November ini.
 
“Masalah ini sudah berlanjutan sejak bertahun-tahun, dan atas kapasiti itulah peruntukan ini diluluskan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Kuang.

“Untuk tempoh ini, kita sudah membuat pelantikan perunding sementara menunggu proses hasil kajian siap,” katanya pada Majlis Perasmian Program Infratani Peringkat Dun Kuang.

Sebelum ini, penduduk di kawasan sekitar perbandaran Kuang terpaksa menempuh kesesakan teruk di kawasan simpang empat Jalan Melati.

Mengakui perkara tersebut, Zaidy optimis penambahbaikan jalan raya di persimpangan empat itu mampu menyelesaikan isu kesesakan di kawasan terbabit.

“Peringkat kepimpinan sentiasa bertungkus-lumus menyelesaikan masalah infrastruktur ini, kerana masalah ini bukan boleh diselesaikan sekelip mata.

“Walaupun Selangor mempunyai kewangan mencukupi, kita perlu menjalankan pelbagai peringkat proses termasuk kajian, lantikan perundingan dan sebagainya,” katanya dipetik SelangorKini.

Share on Myspace