15 pasangan sertai Walimatul Urus 2.0 di Temerloh

BASIRON ABDUL WAHAB | .

MENTAKAB: Lagu ‘Temerloh Di Hati Kome’ berkumandang menghiburkan hampir 12,000 tetamu yang hadir dalam program Walimatul Urus 2.0, anjuran bersama Sekretariat Parlimen Temerloh dan PAS Temerloh.
 
Dalam program gilang gemilang itu seramai 15 pasangan dikahwinkan dan diraikan oleh Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan dan Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus selaku tuan rumah.
 
Setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM2,000 untuk menyertai program berkenaan, pihak penganjur menguruskan majlis akad nikah dan kenduri sebagai satu usaha membantu golongan muda berkahwin.
 
Program seumpama itu dapat memudahkan urusan perkahwinan dengan kos yang minimum tetapi meriah dengan kehadiran keluarga dan sahabat handai sama seperti perkahwinan biasa.
 
Nasruddin dalam ucapan ringkasnya meraikan pengantin baharu, berkata, program berkenaan adalah hasil idea Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar yang menganjurkan program ‘Kawin Perdana’ bagi kawasannya yang di wakilinya, Tanjung Lumpur dan kini telah disebarluaskan ke seluruh negeri Pahang.
 
“Ia adalah idea yang baik dan mula mendapat perhatian dari masyarakat,” katanya.
 
Sebelum itu, 15 pasangan pengantin baharu itu di arak sejauh 10 km oleh pasukan bermotosikal ARC ke tapak lokasi majlis di Bukit Bendera, Mentakab dari Masjid baharu Temerloh.
 
Nasrudin mengucapkan penghargaan kepada pasukan ARC, Unit Amal serta semua yang terlibat menjayakan program berkenaan.
 
Katanya, beliau difahamkan ada juga anggota ARC dari luar Pahang yang  bergabung dengan pasukan ARC Pahang memeriahkan program berkenaan.
 
Difahamkan kira-kira 300 buah motosikal berbagai kuasa kuda menghijaukan perarakan tersebut dengan baju hijau ARC. - HARAKAHDAILY 4/9/2016

Share on Myspace