Bersatu rangka pelan bertindak perkasa Bahasa Melayu

HARAKAHDAILY | .

Saya berpendapat komentar kritis panelis forum Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) terhadap nasib Bahasa Melayu sangat tepat. Ia harus disusuli dengan tindakan kolektif pelbagai pihak untuk memperkasakan semula fungsi Bahasa Melayu. Tambahan pula, bulan Oktober merupakan Bulan Bahasa Kebangsaan yang disambut melewati separuh abad di negara ini. Maka, saya mencadangkan agar satu pelan bertindak digariskan oleh pelbagai pihak untuk merealisasikan hasrat ini.

Pena lebih berautoriti dan memahami nasib peminggiran Bahasa Melayu hari ini. Oleh itu, saya beranggapan bahawa ini adalah masa yang terbaik untuk pelbagai pihak bersatu memposisikan semula kepentingan Bahasa Melayu selaras dengan peruntukan Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan. Malah, PAS sejak dari tahun 1959 telah menyatakan secara tegas dalam manifesto Pilihan Raya Umum tahun tersebut dengan gesaan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dalam usaha untuk merangka Indeks Perpaduan Negara, maka elemen bahasa harus menjadi kriteria dalam indeks berkenaan. Bahasa Melayu adalah faktor sepunya sebagai teras solidariti budaya di negara ini. Maka, usaha yang serius mesti dirintis bagi memastikan Bahasa Melayu terus diarusperdanakan. Tambahan pula, peningkatan bilangan pemimpin pelbagai kaum di semua peringkat boleh menjadi cerminan kepada tahap penguasaan dan penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia.

Selain itu, saya sangat mengharapkan agar Bahasa Melayu menjadi bahasa penting dalam penghayatan ilmu pengetahuan. Saya tetap yakin bahawa penyampaian ilmu dalam Bahasa Melayu lebih banyak memberikan impak positif terhadap rakyat sama sepertimana yang diamalkan di negara-negara sedang membangun seperti Jepun, Korea dan Taiwan. Saya mensasarkan dalam rancangan pelan bertindak ini, Bahasa Melayu harus diangkat menjadi bahasa dunia dalam tempoh yang singkat.

Secara tidak langsung, saya menyeru semua pihak turut sama-sama menilai keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), merevisi akta-akta yang berkaitan seperti Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996, kejituan kehendak institusi-institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, seterusnya pengamalan di segenap ruang. Saya menyeru sekali lagi agar pelan bertindak secara kolektif mesti digembleng dalam masa terdekat agar Bahasa Melayu terus menjadi agenda penting negara.

Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
3 Zulhijjah 1437 | 5 September 2016 - HARAKAHDAILY 5/9/2016

Share on Myspace