RUU 355: PAN mahu ikut Mufti atau DAP?

SYED AHMAD FADHLI | .

SUNGGUH mengejutkan melihat gelagat PAN dalam isu RUU 355 ini. Yang terbaru, Naib Presidennya, Dr Mujahid telah mengingatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri agar tidak menggunakan kedudukannya dalam menjatuhkan hukum wajib atau tidak berkaitan urusan undang-undang. Dia mempertikaikan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan yang menyeru agar kesemua Ahli Parlimen Muslim menyokong Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016.

Hebat bukan PAN ini. Apabila PAS mahu memperjuangkan syariat Islam, PAN pula dengan bantuan DAP memberikan 1001 dalih bagi menghalangnya. Kononnya Maqasid Syariah lebih perlu diutamakan berbanding pelaksanaan syariat Islam. Mereka mahu kenyang tetapi tidak mahu makan. Ini sungguh progresif lagi luarbiasa.

Sahibul Samahah Tuan Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan pandangan beliau dalam "Bayan Linnas Siri 67 : Isu Cadangan Pindaan Akta 355 : Satu Pandangan."

Siri Bayan Linnas setebal 51 muka surat itu sarat dengan fakta dan hujjah yang penuh cermat dan teliti. Anda semua boleh akses dan nilai sendiri pandangan Tuan Mufti tersebut.

Beliau membahagikannya kepada 9 bab iaitu Muqaddimah, Noktah Penting, Maqasid/ Tujuan Perlaksanaan Hukum Syariah, Latar Belakang Ringkas Berkenaan Cadangan Pindaan Akta 355, Keperluan Penambahbaikan Akta 355 dari Sudut Perundangan, Beberapa Kekeliruan Yang Perlu Dijelaskan, Lontaran Persoalan Kepada Pihak Yang Membantah Cadangan Pindaan Akta 355, Pendapat Tokoh Berkenaan Dengan Isu Mahkamah Syariah dan Taqnin, Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan.

Bagaikan bermimpilah sahajalah jika kita hendak mengharapkan PAN memperjuangkan syariat Islam di tanah air ini. Kita mahu memperkasa Mahkamah Syariah yang sudah sedia ada pun, PAN masih mahu berdalih itu dan ini untuk menolaknya. Mungkin PAN menganggap kesemua ulama adalah serba jumud, kolot, konservatif pemikiran sehingga menjadi penghalang untuk mereka menggapai impian ke Putrajaya.

PAN dan yang seangkatan dengannya begitu suka menjaja istilah Maqasid Syariah sebagai pelindung dan dalih untuk tidak melaksana Syariat.

Maka, suka saya di sini untuk memetik pandangan Tuan Mufti Wilayah Persekutuan dalam hal ini,
- Salahfaham Berkenaan Kenyataan Ibn Qayyim

Ramai yang berhujah dengan kenyataan Ibn Qayyim berkenaan dengan mafhum sebenar syariah sehingga membawa kepada kesimpulan yang lain seperti maslahat, suasana yang tidak kondusif dan lain-lain dikemukakan. Kami nukilkan di sini kenyataan Ibn Qayyim yang diambil secara terpotong oleh mereka yang salah faham akan hal ini.

فَإِنَّ الشَّرِيعَةَ مَبْنَاهَا وَأَسَاسُهَا عَلَى الْحِكَمِ وَمَصَالِحِ الْعِبَادِ فِي الْمَعَاشِ وَالْمَعَادِ، وَهِيَ عَدْلٌ كُلُّهَا، وَرَحْمَةٌ كُلُّهَا، وَمَصَالِحُ كُلُّهَا، وَحِكْمَةٌ كُلُّهَا؛ فَكُلُّ مَسْأَلَةٍ خَرَجَتْ عَنْ الْعَدْلِ إلَى الْجَوْرِ، وَعَنْ الرَّحْمَةِ إلَى ضِدِّهَا، وَعَنْ الْمَصْلَحَةِ إلَى الْمَفْسَدَةِ، وَعَنْ الْحِكْمَةِ إلَى الْعَبَثِ؛ فَلَيْسَتْ مِنْ الشَّرِيعَةِ وَإِنْ أُدْخِلَتْ فِيهَا بِالتَّأْوِيلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu adalah segalanya keadilan, kebaikan dan hikmah. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia-sia, maka ia bukanlah syariah sekalipun diberikan takwilan untuknya.”[32]

Sebenarnya, kenyataan ini menunjukkan sifat syariah yang dibina serta asasnya dipenuhi hikmah dan maslahat. Sifatnya juga adil dan rahmat. Ramai pihak yang hanya mengambil sebahagian daripada keterangan Ibn Qayyim dan meninggalkan sebahagian yang lain. Ibn Qayyim menyebut selanjutnya:

فَالشَّرِيعَةُ عَدْلُ اللَّهِ بَيْنَ عِبَادِهِ، وَرَحْمَتُهُ بَيْنَ خَلْقِهِ، وَظِلُّهُ فِي أَرْضِهِ، وَحِكْمَتُهُ الدَّالَّةُ عَلَيْهِ وَعَلَى صِدْقِ رَسُولِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - أَتَمَّ دَلَالَةً وَأَصْدَقُهَا، وَهِيَ نُورُهُ الَّذِي بِهِ أَبْصَرَ الْمُبْصِرُونَ، وَهُدَاهُ الَّذِي بِهِ اهْتَدَى الْمُهْتَدُونَ، وَشِفَاؤُهُ التَّامُّ الَّذِي بِهِ دَوَاءُ كُلِّ عَلِيلٍ، وَطَرِيقُهُ الْمُسْتَقِيمُ الَّذِي مَنْ اسْتَقَامَ عَلَيْهِ فَقَدْ اسْتَقَامَ

Maksudnya: “Syariah itu adalah keadilan Allah sesama manusia, rahmat-Nya terhadap makhluk-Nya dan bayangan-Nya di muka bumi. Hikmahnya itu menunjukkan kepada-Nya serta benarnya Rasul-Nya SAW yang menyempurnakan menyempurnakan dalilnya dan kebenarannya. Ia merupakan cahaya yang dengannya dapat melihat orang yang faham, dan petunjuk bagi mereka yang mengambilnya. Ia juga sebagai penyembuh yang sempurna bagi merawat orang yang sakit, jalan yang lurus yang dengannya siapa yang beristiqamah pasti mendapatnya.”[33]

Justeru, maksud sebenar bukannya sebagaimana yang disalahfahami iaitu segala hikmah dan maslahat yang terdapat Syariat adalah perlu dikecapi terlebih dahulu berbanding perlaksanaan Syariat itu sendiri.

Sebaliknya, kenyataan Ibn Qayyim adalah menyeru kepada perlaksanaan syariah itu sendiri dan bukannya membincangkan keutamaan mengangkat hikmah dan maslahat mengatasi perlaksanaannya. Itulah mafhum sebenar syariah.

Untuk menegakkan keadilan, sudah barang tentu memerlukan mahkamah yang bebas melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Tuhan. Bahkan, perlaksanaan Syariat Islam juga tidak terhad kepada undang-undang yang dinaskan dalam al-Quran dan al-Sunnah sahaja bahkan Islam mensyariatkan hukuman ta’zir, yang memberikan bidang kuasa kepada para hakim untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah berdasarkan elemen keadilan, syura dan ihsan.

Harapnya PAN sudilah meneliti dan mendengar pandangan Tuan Mufti, bukan hanya tahu taat, patuh dan wala' kepada DAP sahaja.

Melainkan PAN sudah berasa DAP boleh menjadi pewaris perjuangan para Nabi, manakala ulama ini tidak ada nilainya lagi, maka tidaklah dapat lagi kami membantu kamu melainkan melalui nasihat dan teguran. – HARAKAHDAILY 5/9/2016

Share on Myspace