Tangguh perindah sekitar Tugu Negara kos RM650 juta

HARAKAHDAILY | .

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) secara tegas meminta pihak kerajaan menangguhkan projek untuk memperindahkan kawasan sekitar Tugu Negara yang dianggarkan akan menelan kos sebanyak RM650 juta.

DPPWP tidak menolak idea untuk menghijaukan Kuala Lumpur, tetapi keperluan bagi projek tersebut sangat tidak perlu buat masa ini. Kerajaan harus memanfaatkan alokasi bajet tersebut untuk keperluan rakyat yang lebih utama.

Idea ikonik hutan tropika mini dalam bandar raya tersebut juga dibimbangi akan mengulangi kegagalan projek dusun bandar yang terletak di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.

Projek dusun bandar yang di bawah seliaan Kementerian Wilayah Persekutuan didapati banyak menghadapi masalah dan keraguan kewangan sepertimana yang dilaporkan dala Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012. Malah, DPPWP juga telah mengutarakan isu tersebut sebelum ini.

Negara dan rakyat sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi. Kitaran krisis ekonomi juga dijangka bakal berlaku pada tahun 2017/2018.

Maka, apa perlunya kerajaan dan agensinya membelanjakan peruntukan yang besar untuk projek yang tidak berimpak tinggi tersebut?

DPPWP mahu supaya peruntukan tersebut diagihkan kepada sektor rangsangan ekonomi yang lebih besar termasuk perbelanjaan kepada golongan miskin dan mudah terjejas. Kami tidak mahu projek tersebut diteruskan buat masa ini.

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
3 Zulhijjah 1437 | 5 September 2016 - HARAKAHDAILY 5/9/2016

Share on Myspace