Isa janji hutang peneroka selesai hujung Sept 2016

HARAKAHDAILY | .

ISA SAMAD JANJI SEMUA PENYATA HUTANG PENEROKA SELESAI PENGHUJUNG SEPTEMBER 2016

Kebuntuan penyata hutang terperinci yang menjadi salah satu masalah teras peneroka Felda yang menyerahkan pengurusan kebun mereka sejak 10 tahun lalu kepada Felda Technoplant akan diselesaikan sepenuhnya di 11 Wilayah Felda melibatkan 317 tanah rancangan.

Ini janji Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad di Dewan Semai Bakti, Felda Gunung Bongsu Kedah. Walaupun beliau memberi jaminan, kami sukar mempercayainya kerana sebelum ini janji yang sama biasa didengar dan bila sampai masanya perkara yang dijanjikan senyap dan berlarutan.

Beliau mendakwa sebahagian wilayah sudah pun mendapat penyata hutang terperinci ini, namun hasil siasatan kami di beberapa tanah rancangan Felda, peneroka masih tidak menerima laporan atau penyata hutang terperinci, mereka hanya menerima penyata seperti biasa yang hanya dinyatakan jumlah kedudukan hutang semasa sahaja. Apa pun kami warga Felda sedia menanti sehingga penghujung September ini seperti mana yang beliau janjikan.

Beliau juga memberitahu peneroka mempunyai dua akaun yang berlainan iaitu akaun sosial ekonomi dan akaun permohonan ladang yang lebih lengkap. Akaun sosial ekonomi melibatkan pinjaman rumah, perniagaan dan beberapa perkara lain, manakala akaun permohonan ladang melibatkan kos tanam semula, pinjaman sara hidup ketika ketiadaan hasil semasa proses tanam semula selama 4 tahun dari pokok ditebang.

Semua perkara yang Pengerusi Felda sebutkan itu, ianya dalam peNgetahuan peneroka Felda, yang menjadi persoalan dan tanda tanya peneroka Felda ialah, kenapa selepas beberapa tahun pengeluaran hasil ladang mereka, hutang terus bertambah? Seolah-olah tiada potongan dari hasil buah tandan baharu (BTB ) mereka. Hasil diambil dan diuruskan oleh Felda Technoplant seolah-olah tidak mampu menanggung pinjaman sara hidup yang diterima.

Kepada peneroka yang menguruskan sendiri ladang mereka, masalah ini tidak melingkari mereka. Begitu juga mereka yang menyerahkan kepada Felda sendiri. Kenapa timbunan hutang hanya kepada peneroka yang menggunakan khidmat swasta iaitu Syarikat Felda Technoplant Sdn Bhd?

Peneroka Felda, pewaris-pewaris mereka sedia menanti janji penyelesaian masalah penyata kewangan terperinci. Janganlah janji-janji sebelum ini oleh pihak pengurusan mengiringi janji yang dibuat sendiri Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad.

NARAZA MUDA
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
5 September 2016 / 3 Zulhijjah 1437 - HARAKAHDAILY 5/9/2016

Share on Myspace