RUU 355: Kenyataan Mujahid dangkal

HARAKAHDAILY | .

Kenyataan Ahli Parlimen Parit Buntar yang menempelak pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengenai RUU 355 sangat dangkal.

Saya sarankan agar Dr Mujahid Yusof meneliti semula pandangan Mufti dan tidak gopoh dalam membuat kenyataan berbaur paranoid. Sedangkan orang awam pun memberikan pandangan, ini kan pula mufti memberikan pandangan hasil daripada informasi yang digarap daripada pelbagai aspek.

Risalah Bayan Linnas, Isu Cadangan Pindaan Akta 355 yang diterbitkan oleh Mufti WP adalah pendapat yang tuntas. Seruan beliau yang meminta semua ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong pindaan Akta 355 sangat dialu-alukan.

Ini bukan politiking kepartian, tetapi ia adalah hasrat umat Islam seluruhnya untuk memperkasakan taqnin Syari’ah dan Mahkamah Syari’ah di Malaysia. Tanpa merujuk kepada aspek legislatif pun, sekurang-kurangnya menyokong tekad untuk mentaqninkan Syari’ah di Malaysia adalah satu kewajiban bagi mereka yang beriman.

Sesuai dengan kedudukan beliau sebagai seorang mufti, sudah pasti pendapat yang dilontarkannya mengambilkira kepentingan agama dan umat Islam seluruhnya. Sebagai seorang ahli Parlimen Islam di Malaysia, roh untuk memartabatkan Islam dalam konteks legislatif sentiasa hidup, malah kita mesti sentiasa menghulurkan kerjasama bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Jangan terlalu berfikiran sempit dengan hanya memikirkan untung rugi politik parti semata-mata. Asasnya kita semua wajib menyokong dan bersama-sama memperbaiki jika terdapat kekurangan teknikal dan prosedural. Inilah jiwa besar negarawan Islam.

NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
3 Zulhijjah 1437 | 5 September 2016 - HARAKAHDAILY 5/9/2016

Share on Myspace