Pemuda PAS Sabah teguh bersama institusi mufti

HARAKAHDAILY | .

PEMUDA PAS menyelar tindakan Naib Presiden PAN, Mujahid Rawa yang mempersoalkan secara tidak bermoral terhadap pandangan yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Al-Bakri berhubung isu RUU 355 yang mempunyai pengalaman dipinda pada tahun 1984. Ini menunjukkan bahawa PAN seolah-olah menjadi 'duri dalam daging' kepada usaha memajukan masyarakat Islam di negara ini.

Pandangan yang dibuat oleh Mufti Wilayah berkaitan RUU 355 melalui Bayan Linnas adalah suatu pendekatan terbaik yang merentasi batas sempadan dan ia perlu diterima baik oleh semua pihak termasuk parti politik, ngo mahupun individu sebagai suatu permurnian pandangan dalam masyarakat.

Walhal, jika ia persoalan teknikal legislatif namun asasnya dalam situasi apapun, ia menjadi tanggungjawab umum kepada setiap umat Islam untuk menyokong dan membantu sebarang kebaikan yang diperlukan untuk agenda 'islah dan tajdid dalam negara.

Seperti diketahui, institusi mufti adalah badan fatwa yang dihormati oleh umat Islam di negara ini. Sebarang perbezaan pandangan perlu dirujuk secara baik kepada mufti terbabit dan tidak wajar pandangan sinis secara terbuka terhadap mufti dikeluarkan atas dasar politik sempit dan tidak puas hati.

Justeru kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Mujahid Rawa hasil sentimen politik sempit telah mencemar usaha murni umat Islam di Malaysia dan dibimbangi inilah bibit-bibit pemikiran orientalis Barat yang cuba menyusup masuk ke dalam masyarakat dengan mengambil kesempatan terhadap ruang-ruang demokrasi di Malaysia.

Pemuda PAS juga menasihatkan PAN agar tidak mengambil peranan pihak-pihak yang cuba menghalang atau mengagalkan usaha terhadap pindaan Akta RUU 355 semata-mata untuk meraih sokongan politik daripada pihak-pihak yang tidak berminat untuk menaiktaraf bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Justeru, Pemuda PAS menggesa agar Naib Presiden PAN, Mujahid Rawa untuk memohon maaf secara terbuka kepada pihak Mufti Wilayah Persektuan, Dr Zulkifli Al-Bakri atas kenyataan sinis yang telah dikeluarkan dan semoga perkara seumpama ini memberi pengajaran semua pihak agar tidak melakukan sesuatu yang memberi imej kurang baik kepada institusi mufti di Malaysia.

HERRYANTO HASANUDDIN
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) – HARAKAHDAILY 5/9/2016

Share on Myspace