Mujahid tidak mencari 'Rahmatan Lil Alamin'

HARAKAHDAILY | .

ADALAH suatu perkara yang biadab apabila Ahli Parlimen Parit Buntar membuat kenyataan menempelak pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mengenai RUU355.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mujahid Yusof kerana meninggalkan PAS lebih awal. Sifat gopoh dan gelojoh yang ditunjukkan beliau kini menjadi bukti mengapa beliau tidak mampu kekal dalam perjuangan Islam yang suci bersama PAS.

Kita meletakkan keyakinan yang tinggi kepada pejabat mufti, khususnya Datuk Mufti itu sendiri memberikan pandangan hasil daripada informasi yang digarap daripada pelbagai aspek.

Melalui penulisan Risalah Bayan Linnas, Datuk mufti tidaklah mengeluarkan fatwa. Beliau sekadar memberi saranan akan kewajiban juga kewajipan Ahli Parlimen Islam memberi sokongan terhadap pindaan RUU355 yang kali terakhir dipinda pada tahun 1984.

Ini bukan soal politik, jauh sekali kepartian. Tetapi ia adalah hasrat umat Islam seluruhnya untuk memperkasakan Mahkamah Syari’ah di Malaysia sepertimana yang dititahkan baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tanpa merujuk kepada aspek legislatif pun, sekurang-kurangnya menyokong tekad untuk mentaqninkan Syari’ah di Malaysia adalah satu kewajiban bagi mereka yang beriman.

Jangan jadi hamba politik yang hanya memikirkan untung rugi politik parti semata-mata. Dari arah mana kan kau tagih Rahmatan Lil Alamin jika Ulama' diperlekeh, Mufti ditempelak lagi. Asasnya kita semua wajib menyokong dan bersama-sama memperbaiki jika terdapat kekurangan teknikal dan prosedural.

Jika YB Parit Buntar boleh menempelak dengan paranoid terhadap tubuh intelek agama Islam, izinkan kami anak muda memberi sedikit nasihat ikhlas, bertaubatlah.

ABDUL HADI HARUN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 5/9/2016

Share on Myspace