Pemuda PAS Selangor selar tindakan perlekeh mufti

HARAKAHDAILY | .

DEWAN Pemuda PAS Negeri Selangor menyambut baik saranan sahibus samahah Mufti Wilayah Perseketuan Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyeru supaya ahli parlimen Islam menyokong pindaan RUU 355 yang dicadangkan oleh MP Marang, TG Haji Abdul Hadi Awang.

Kepekaan Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang keperluan dan hak orang orang Islam untuk diperjuangkan perlu disambut dengan hati yang terbuka oleh seluruh umat Islam.

Gesaan dan saranan yang dibuat oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan ini dibuat setelah penelitian dan pemahaman yang jelas tentang usaha memartabatkan syiar umat Islam dan memerkasakan mahkamah syariah setelah lebih 30 tahun tidak dikemaskini.

Sehubungan dengan itu, DPPNS juga mengecam tindakan sebahagian pemimpin Melayu Islam yang memperlekehkan tindakan Mufti WP ini. Terbaru, kenyataan media yang disiarkan sinar harian menyebut bahawa MP Parit Buntar cuba merendahkan tindakan Mufti WP, yang turut menjadi seperti suara sebahagian parti politik yang dianggotainya.

Nasihat kami kepada ahli politik yang bersikap demikian ialah supaya bersegera muhasabah dan kembali ke pangkal jalan.

Tindakan menuduh Mufti WP tidak memahami isu RUU 355 dan perlu mendengar perbahasan adalah satu kenyataan dangkal dan sangat menggambarkan sebuah pemikiran yang begitu alergik dengan usaha demokrasi umat Islam untuk menyebut Islam.

Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri terkenal dengan sikap proaktif mendengar dari semua pihak tentang usaha usaha memperkasakan akta 355, beliau telah menerima banyak lawatan dari NGO, PAS dan badan badan lain tentang hakikat sebenar RUU 355.

Tidak seperti pemimpin parti politik baru yang ditubuhkan setahun lepas yang sengaja menafikan hakikat sebenar tujuan pindaan RUU 355 yang sengaja menjadikan alasan teknikal untuk menolak pindaam tersebut.

Maka, ditegaskan sekali lagi bahawa Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyokong penuh saranan mufti Wilayah dan menyelar tindakan negatif Pemimpin Parti Politik Islam yang sengaja menegatifkan saranan tersebut yang boleh merugikan Islam yang dianuti di negara ini.

USTAZ AHMAD HAKIMI OTHMAN
Pengarah Jabatan Penerangan
Dewan Pemuda PAS Selangor
Selasa | 6 September 2016 – HARAKAHDAILY 6/9/2016

Share on Myspace