RUU 355: Mujahid tidak beradab serang mufti

HARAKAHDAILY | .

Saya merasa amat pelik apabila Dr Mujahid Yusof tiba-tiba secara tidak beradab menyerang Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifli al-Bakri yang mengeluarkan kenyataan kewajipan menyokong pindaan Akta 355 yang membataskan kuasa Mahkamah Syariah dalam menghukum pesalah syariah. Adakah beliau terpaksa mengikut telunjuk rakan kerjasama politik yang menyerang cadangan pindaan ini daripada awal ia dibentangkan di parlimen 26 Mei 2016 yang lalu?

Sekiranya beliau tidak bersetuju dengan pandangan mufti tersebut boleh sahaja beliau berbahas memberikan pandangan dan hujah secara rasional dan bukannya dengan menyerang kedudukan dan kelayakan mufti untuk memberikan pandangan dalam perkara penting seumpama ini?

Alasan Mujahid kononnya mufti belum mengetahui perincian cadangan pindaan untuk dikeluarkan hukum sangat dangkal dan mengelirukan. Bukankah teks rang undang-undang tersebut telah dibentang di parlimen iaitu antaranya "Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain dari hukuman mati".

Jika ketiadaan perincian dan ia belum dibahas di parlimen menjadi alasan Mujahid untuk mufti tidak wajar memberikan pandangannya maka apa pula kewajaran sebahagian ahli parlimen dan orang awam di kalangan bukan Islam berkempen untuk menolak cadangan pindaan Akta 355 sekarang sebelum ada perincian dan sebelum dibahaskan?

Tidakkah sudah jelas hatta oleh orang awam bahawa Akta 355 bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah telah menyekat kuasa Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah syariah berdasarkan hukum syariat yang sebenar?

Bagi seorang muslim yang sayang agamanya tentunya memahami kewajipan memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah ini secara dasarnya yang menuntut mereka berbicara dan berkempen menyokong usaha ini sementelah pula seorang mufti yang mempunyai tanggungjawab menjelaskannya dari sudut kewajipan beragama.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 6 September 2016 - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Share on Myspace