Doa untuk Malaysia merdeka 2057

HARAKAHDAILY | .

Laungan Merdeka oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj merupakan imej yang sinonim dengan pengisytiharan kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Namun sejarah seolah melupakan detik penting pada upacara tersebut iaitu ketika Al-Marhum Syeikh Haji Ahmad bin Muhammad Said, Mufti Negeri Sembilan, memimpin bacaan doa bagi memohon keselamatan dan keberkatan untuk sebuah negara yang seumpama baru ‘dilahirkan’ semula.

Menghayati setiap bait doa yang terkandung di dalam empat perenggan tersebut akan mendekatkan kita kepada hati nurani generasi terdahulu yang mendambakan erti kemerdekaan sebenar, iaitu:

1. Pemimpin Yang Adil, Memelihara Agama

“Ya Allah! Anugerahkanlah taufiq kepada sekalian pentadbir awam, jemaah menteri, para sultan dan raja, serta pemimpin negara bagi memelihara kehendak-kehendak agama, memelihara hak keistimewaan umatnya, menegakkan keadilan dalam undang-undang dan berpegang kepada keindahan Islam.”

2. Bangsa Melayu Yang Maju

“Ya Allah! Jadikanlah mereka agen perubah hal keadaan orang-orang Melayu, agar bangsa ini meningkat maju dan kehadapan sehingga tercapai cita-cita yang diidam-idamkan. Ya Allah! Bantulah bangsa Melayu, bimbinglah serta jadikanlah kami menjadi sebaik-baik manusia. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus, jalan yang telah Engkau kurniakan kepada umat Islam yang telah menikmatinya, bukan sebagaimana orang yang Engkau murkai dan bukan juga orang yang sesat.”

3. Kesejahteraan Hidup, Keharmonian Kaum

“Ya Allah! Hindarilah kami daripada sebarang kesusahan, sejahterakanlah kami daripada segala yang boleh memudharatkan, peliharalah kami daripada segala buruk lagi keji dan tunaikanlah segala yang diharap dan dihajati. Harmonikanlah antara kami dan bangsa lain selain kami hingga kami sentiasa dalam keamanan dan keselamatan. Bebaskanlah kami dengan segera daripada segala kepayahan dengan rahmatMu wahai Tuhan yang Maha Merahmati segala yang penyayang.”

4. Menewaskan Musuh dan Perosak Negara

“Ya Allah! Jadikanlah bagi bangsa kami, kaum yang lain dan negara ini penjaga daripada segala bala, yang menghalang kami dan mereka daripada sebarang pencerobohan. Bantulah kami menewaskan segala musuh dan orang yang dengki. Zahirkanlah kemarahanMu dan kemurkaanMu kepada orang yang melampau dan yang melakukan kerosakkan. Ya Allah! Awasilah dengan penglihatanMu yang tidak pernah lena dan bentengilah dengan perlindungan dan bentengMu yang tidak mudah diterima.”

Persoalannya, adakah kita telah berjaya merealisasikan hasrat murni generasi terdahulu pada 1957. Jika tidak, apakah yang boleh dilakukan oleh generasi muda negara bagi meletakkan empat tonggak penting ini sebagai asas pembentukan Malaysia yang lebih sejahtera pada 2057.

Kuncinya pada tonggak yang pertama, pemimpin yang menjaga agama.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
6 September 2016 - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Share on Myspace