Hospital Pendang: Jangan permainkan rakyat Kedah

HARAKAHDAILY | .

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mengesahkan bahawa pembinaan Hospital Pendang yang diluluskan menerusi Bajet 2016 mengalami sedikit kelewatan akibat kekangan kewangan. Kementerian Kesihatan juga akan melakukan pemotongan kos terhadap projek yang bernilai RM200 juta tersebut.

Ini bukanlah kali pertama penangguhan terhadap rancangan pembinaan Hospital Pendang ini dibuat. Projek yang telah diumumkan dalam Bajet 2006 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dibatalkan dalam kajian projek Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9). Projek tersebut diumumkan semula sebagai 'gula-gula politik' pada Pilihan raya Kecil Pendang 2002. Namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga ditegur oleh Tuanku Sultan Kedah dalam titah perasmian Sidang Dun Kedah pada November 2011, kerana lambat dilaksanakan.

Apabila rancangan pembinaan Hospital Pendang ditangguhkan lagi kali ini, maka ia benar-benar satu tindakan mempermain-mainkan rakyat Kedah, khususnya penduduk Pendang, setelah 10 tahun projek yang memberi manfaat kepada penduduk luar bandar itu diumumkan.

Langkah mengurangkan kos dengan memotong perkara-perkara tertentu dari pelan asal merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana kemudahan sebuah hospital wajar dilengkapkan demi memberi perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat, bukannya dikurangkan.

Di kala kerajaan memberi alasan bahawa projek tersebut ditangguhkan kerana kekangan kewangan, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan projek Taman Tugu Negara bernilai RM650 juta. Di mana kewarasan kerajaan BN apabila projek yang tidak memberi manfaat kepada rakyat itu lebih diutamakan berbanding projek pembangunan kesihatan yang melibatkan nyawa rakyat?

Alasan "kekangan kewangan" tidak wajar digunakan kerana kerajaan pimpinan BN telah memeras rakyat bawahan; termasuk orang miskin dan penduduk luarbandar, melalui pelaksanaan cukai GST yang dikenakan terhadap semua. Maka inilah masanya untuk memulangkan kembali manfaat kepada rakyat bawahan, khususnya di Daerah Pendang.

Kerajaan hendaklah menyedari bahawa pembinaan Hospital Pendang merupakan satu keperluan terhadap rakyat yang mesti diteruskan. Manakala yang mesti dihentikan ialah tindakan mempermainkan rakyat, membazir serta memberi alasan tidak munasabah.

DATUK DR MOHD HAYATI OTHMAN
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah
6 September 2016 - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Share on Myspace