Zika: PAS Sabah gesa adakan solat hajat

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Sabah menggesa semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menangani virus Zika yang sedang melanda kita sekarang ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Aminuddin Aling berkata kes Zika sudah menjadi salah satu ancaman kesihatan baru yang memerlukan kerjasama rakyat dan pihak berkuasa.

"Sebelum ini kita hanya mendengar kes ini berlaku di luar negara, tetapi sekarang ianya sudah merebak ke negara kita dan ianya menjadi ancaman kepada semua," ujarnya dalam satu kenyataan.

Menruutnya, perkara paling asas yang perlu dilakukan adalah menjaga kebersihan khususnya pembasmian tempat pembiakan nyamuk.

"Saya merasakan memang agak sukar untuk pihak berkuasa menangani masalah ini secara bersendirian," ujarnya.

Beliau berkata, lebih mudah sekiranya pemilik rumah persendirian memastikan keadaan sekeliling mereka bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

"Memandangkan kes ini sudah menjadi ancaman baru dalam keselamatan semua, maka PAS Sabah juga menyarankan agar seluruh surau dan masjid mengadakan solat hajat bagi memohon daripada Allah SWT untuk menjauhkan kita semua daripada penyakit ini," katanya lagi.

Tambahnya, bagi mereka yang mempunyai iman yang sebenar sekali-kali jangan kita lupa memohon pertolongan Tuhan kerana segalanya datang daripadaNya.

"PAS Sabah akan mengarahkan seluruh PAS kawasan dan cawangan di seluruh Sabah untuk mengadakan solat hajat supaya kita semua dielakkan daripada penyakit yang amat merbahaya ini," katanya. - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Share on Myspace