Sekurang-kurangnya beri sokongan kepada RUU 355

HARAKAHDAILY | .

Semua ahli Parlimen Islam mesti menolak sebarang sentimen politik kepartian dan sekurang-kurangnya memberikan sokongan kepada Rang Undang-Undang pindaan Akta Mahkamah Syariah (RUU355) yang dijadual akan dibentangkan secara terperinci oleh Ahli Parlimen Marang bulan depan.

Sebagai ahli parlimen Islam, usaha-usaha untuk memartabatkan undang-undang syariah dan institusi-institusinya mesti menjadi konsensus bersama yang merentasi politik kepartian.

Jika kita boleh bersetuju dengan Akta Perihal Dagangan 2011 untuk pematuhan halal, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk menyelaras aspek muamalat dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 untuk mentadbir urusan kekeluargaan Islam, mengapa tidak kita sama-sama bersetuju dengan akta ini?

Tidakkah ia adalah satu akta untuk mengukuhkan undang-undang jenayah syariah dan Mahkamah Syariah? Tidakkah ia sebahagian daripada syariah?

Elakkan sikap ‘double standard’, paranoia dan selektivisme dalam Islam. Kita sedang melangkah ke hadapan untuk mempamerkan keadilan Islam. Jika terdapat sebarang masalah teknikal dalam RUU yang akan dibentangkan nanti, sila berikan komentar yang konstruktif dan bukan menghalang daripada ia dibentangkan.

DPPWP mengucapkan jutaan terima kasih kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samihah Datuk Dr Zulkifli Mohammad al-Bakri atas pandangan jitu yang dilontarkan.   

Kami turut mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian kerana menyediakan platform forum yang menampilkan panelis bukan Islam dalam perbincangan isu ini. Ia adalah satu sikap kematangan yang harus dicontohi supaya mesej Islam dapat disampaikan kepada sasaran yang tepat.

DPPWP juga akan melaksanakan beberapa aktiviti penting pada bulan hadapan khusus untuk memberikan penerangan kepada pelbagai lapisan rakyat berhubung RUU 355 menjelang sidang mesyuarat Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini.

MOHD FARKHAN MD ZIN
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
4 Zulhijjah 1437 | 6 September 2016 - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Share on Myspace