RUU 355: PAN jangan terlalu main politik

HARAKAHDAILY | .

Kenyataan Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Naib Presiden PAN yang mempertikaikan pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, SS Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri dalam Bayan Linnas siri 67 berhubung pindaan Akta RUU 355 amat memeranjatkan dan mengecewakan.

Hairan dan pelik, bagaimana seorang ahli parlimen PAN yang katanya memperjuangkan Islam tetapi hairan dengan pandangan SS Mufti Wilayah yang menyeru untuk menyokong memperkasakan mahkamah syariah.

Lebih malang dan menyedihkan buat masyarakat Parit Buntar yang juga ingin melihat pemerkasaan Mahkamah Syariah ini dilaksanakan tetapi ahli parlimen mereka terlalu "politicking" dalam perjuangan ummah.

Sememangnya Akta RUU 355 adalah perkara legislatif yang diputuskan oleh Dewan Rakyat, namun harus diingat bahawa perundangan tidak boleh dipisahkan dengan Islam. Ini menjadi "buah" kepada golongan sekular bagi mengasingkan urusan keduniaan dengan agama. Pandangan mufti dan alim ulama amat penting dalan menentukan dasar dan polisi negara.

Kerakusan politik PAN dalam meraih sokongan DAP melihatkan bagaimana rapuhnya prinsip perjuangan mereka. Maqasid Syar'iyah meletakkan agama menandingi segalanya. Jangan hanya menang politik, kalah dakwah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengingatkan PAN agar berpolitik dengan matang dan rasional demi rakyat juga Islam bukannya emosi serta berkepentingan peribadi. Sikap PAN yang terlalu bermain politik ini memberi kesan negatif kepada agama, rakyat dan negara.

DPPN Perak terus istiqamah memperjuangkan hak rakyat dalam ruang lingkup Islam. Kami menyeru kepada semua ahli parlimen Malaysia khususnya di Perak untuk bersama majoriti ummat Islam di Malaysia yang mahukan Akta RUU 355 dipinda dan Mahkamah Syariah diperkasakan.

DPPN Perak juga menyatakan kesediaan untuk berdiskusi, berdebat, berbincang, berdialog dalam usaha menerangkan pindaan Akta RUU 355 dan perjuangan PAS dalam membina Malaysia yang sejahtera dalam lunas dan kerangka Islam.

ABDUL QAHAR SHAMS
Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak
4 Zulhijjah 1437 / 6 September 2016 - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Share on Myspace