PAN hilang arah, prejudis agenda martabat syariat

HARAKAHDAILY | .

SKEPTIKAL ditunjukkan Naib Presiden PAN, Datuk Dr Mujahid Yusuf terhadap seruan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri seolah-olah membayangkan PAN berada dalam keadaan terancam, membentak dan hilang arah.

Malah, sikap ditunjukkan Mujahid itu juga angkuh, tidak menghormati autoriti, jumud, bahkan tidak menghayati makna "Rahmatan lil 'alamin" yang kononnya menjadi konsep pembawaan parti itu. Sebaliknya, membuka semakin banyak tembelang hipokrit PAN dari hakikat digembar-gemburkan.

Apakah Dr Mujahid melihat Mufti Wilayah sebagai seorang yang naif dan tidak memahami isu? Ternyata menerusi Bayan Linnas, Dr Zulkifli telah mengutarakan perincian sangat jelas berhubung RUU355 dalam segenap aspek penjuru.

Sewajarnya, Dr Mujahid sebagai Ahli Parlimen yang antara tugas utama adalah menggubal atau meminda rang undang-undang merasa bersyukur kerana ada pihak lain yang turut berperanan dalam melakukan tanwir terhadap perkara ini. Apatah lagi seorang yang sangat berautoriti dan diiktiraf keilmuannya.

Dr Mujahid sendiri seharusnya memahami, tujuan perundangan bukan semata-mata mencegah, menghukum dan memulihkan, tetapi juga ta'dib di mana Mufti Wilayah telah menyumbang usaha berkualiti ke arah itu.

Konteks disentuh Dr Zulkifli juga adalah RUU telah sedia ada yang hanya akan melalui proses pindaan. Ia bukan rahsia atau sesuatu yang baharu, tetapi telah menjadi pengetahuan umum dan melalui banyak perbincangan pelbagai pihak.

Dengan mempunyai kedudukan pada kursi masing-masing dan pendidikan tertinggi, serancaknya wacana ilmiah dan terarah dapat diadakan dalam suasana mahabah serta beradab. Bukan melakukan tajrih yang menzahirkan dangkal, bebal dan kurang ajar.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah melihat PAN bagai dibayangi kebimbangan terhadap setiap usaha yang berkait dengan memartabatkan syariah. Maka, siapa sahaja yang dilihat bersama dalam perkara itu 'diperangi' semberono. Kami nasihatkan agar kembalilah ke pangkal jalan.

Kami menyeru agar inklusivisme yang sering diuar-uarkan dapat dipraktikkan. Juga perbincangan ilmiah dalam kondusif berakhlak dibudayakan. Kefahaman dan kesediaan patuh warga negara untuk menerap setiap perundangan adalah antara lambang martabat dan ketamadunan. Itulah kematangan yang sepatutnya diagendakan sebuah parti politik.

Pada akhir zaman ini ketika ikatan Islam dirungkai dari syariat hingga solatnya, maka usaha mengukuhkan perundangan syariah ini sewajibnya menjadi perjuangan bersama umat Islam. Moga ia menjadi naungan kesejahteraan hidup di dunia serta mendapat keredaan Allah menuju kebahagiaan Hari Akhirat kelak.

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 6/9/2016

Share on Myspace