Utamakan megafauna kita, bukannya panda

SM MOHAMED IDRIS | .

Sahabat Alam Malaysia (SAM) sebelum ini sudah pun memberi amaran serta meramalkan berita bahawa memelihara panda di Zoo Negara akan menelan belanja yang besar. Pada hakikatnya panda merupakan haiwan yang paling mahal di dunia untuk dipelihara.

Sejak tahun 2009 dan 2012 lagi, SAM telah membantah dengan sekeras-kerasnya langkah untuk membawa panda ke Malaysia di mana Kerajaan China bersetuju untuk menyewakannya dengan bayaran mencapai enam angka. Pada masa itu, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Zoo Negara diserang demam panda yang menenggelamkan segala kebimbangan dan keprihatinan orang ramai dan NGO.

Memandangkan panda merupakan spesies terancam, menarik dan mudah terjejas, seekor panda sahaja boleh menarik berjuta pengunjung yang akan membawa keuntungan dari sudut kewangan, dengan itu dapat menaikkan perolehan pendapatan zoo yang merosot. Kajian menunjukkan zoo yang mempunyai panda berada dalam “tempoh bulan madu” apabila ramai orang berpusu-pusu untuk melihatnya. Selepas beberapa waktu, kehadiran panda tidak lagi dikaitkan dengan pemuliharaan atau pendidikan tetapi lebih kepada mengumpul hasil kutipan masuk ke zoo. Apabila pendapatan mula merosot, anak panda akan membawa lebih ramai pengunjung untuk mengimbangi kos penjagaan haiwan.

Bagaimanapun, perbelanjaan panda yang dibiakkan dalam kurungan menimbulkan persoalan yang serius sama ada spesies ini benar-benar bernilai daripada semua wang itu yang lebih baik dibelanjakan untuk megafauna – haiwan besar kita seperti gajah, harimau dan badak? Malaysia berhadapan dengan situasi yang amat buruk di mana haiwan ini lebih bernilai selepas mati daripada hidup di kawasan habitatnya. Aspek pemuliharaan pula kurang menimbangkan ruang pemikiran yang baharu untuk melindunginya dengan lebih baik. Ini menyebabkan ia berada di ambang kepupusan.

Kini tiba masanya bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar lebih berhemat terhadap ke mana wang akan dibelanjakan. Bagi semua wang yang dibelanjakan untuk panda, kita boleh melindungi banyak spesies dalam pelbagai habitat termasuk menambah baik peralatan, kakitangan, dan strategi dalam memerangi penyeludup yang menggunakan teknologi canggih dan terbaharu bagi memperdayakan pegawai. Oleh kerana kemahiran yang lemah dan kecekapan Jabatan Perhilitan dalam menangani spesies terancam kita sendiri dipersoalkan, perkara ini perlu ditangani terlebih dahulu.

Urusan panda ini tiada kaitan dengan pemuliharaan tetapi semuanya mengenai wang. China telah lama menjalankan diplomasi panda sebagai tanda hubungan diplomatik yang mesra. Tetapi persoalan yang perlu dikemukakan ialah mengenai motif kewangan mereka di sebalik keputusan yang lebih berupa seperti menjalankan perniagaan lumayan dalam menyewa haiwan.

Panda adalah spesies terancam, bukannya komoditi untuk diperdagangkan bagi hiburan manusia. Walaupun matlamatnya adalah untuk menggalakkan pemeliharaan dan untuk meningkatkan bilangannya bagi dihantar semula ke habitatnya, program diplomasi panda telah beralih daripada melindungi panda dalam habitatnya kepada menarik pelanggan untuk membayar di zoo dan meningkatkan hasil pelancongan. Tambahan pula panda telah menjadi alat politik dan keuntungan.

Pemuliharaan panda perlu memberikan tumpuan kepada perlindungan habitat termasuk mengurangkan permintaan manusia dan kesan ke atas sistem kawasan perlindungan dan rizab panda sedia ada, dan apa sahaja pembiakan dalam kurungan in-situ yang dilakukan seharusnya bertujuan untuk memastikan panda dikembalikan kepada habitat asalnya. Jika pemuliharaan menjadi matlamat, adalah tidak wajar untuk menghantar haiwan untuk pembiakan ke zoo di seluruh dunia. Kini tiba masanya untuk mendidik orang ramai mengenai panda gergasi sebagai haiwan liar dalam bahaya kepupusan dan menghentikan eksploitasi kegilaan orang ramai terhadapnya dengan cuba untuk mengambil kesempatan daripadanya.

China juga perlu meneliti kembali dasar mengangkut panda mereka ke seluruh dunia dengan menawarkan hadiah panda secara pinjaman. Panda mereka perlu dibenarkan untuk berkembang, hidup dan membiak dengan bebas dalam persekitaran asli mereka. Keinginan untuk merapatkan hubungan antarabangsa membahayakan kebajikan panda.

Sekali lagi, SAM menggesa Kerajaan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menggunakan wang untuk kegunaan yang lebih baik contohnya untuk peralatan, sumber manusia, dan tindakan berkesan untuk menangani jenayah siber hidupan liar, tindakan terhadap rasuah dan mengukuhkan lagi perlindungan di lapangan. - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Share on Myspace