Protes hingga projek Taman Tugu ditangguhkan

KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN | .

DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyatakan pendirian tegas untuk memprotes cadangan Projek Taman Tugu dalam tempoh terdekat sekiranya ia tidak ditangguhkan.

DPPWP sangat menghargai usaha pelbagai pihak untuk menghijaukan Kuala Lumpur, tetapi dengan jumlah sebanyak RM650 juta yang diperuntukkan adalah sangat tidak wajar dilakukan pada waktu sekarang.

Kerajaan dan syarikat awam berhad yang dimiliki oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (Khazanah Nasional) mesti menarik semula cadangan Projek Taman Tugu kerana ia tidak relevan, tidak berimpak tinggi dan jauh daripada kepentingan rakyat.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang turut sama menjadi agensi pelaksana bagi projek ini harus mengambil iktibar dan melihat semula kegagalan Projek Dusun Bandar yang telah didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Projek yang berkeluasan 19 ekar di Kampung Delima, Jalan Bellamy telah menelan kos sebanyak RM17.25 juta, tetapi apakah hasil projek berkenaan kepada majoriti rakyat di Kuala Lumpur?

Kami sebagai warga Kuala Lumpur mendesak kerajaan supaya lebih prihatin untuk memikirkan solusi yang lebih baik untuk mengurangkan bebanan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Itu adalah agenda yang perlu diutamakan berbanding projek ini.

Secara mudahnya, jika RM650 juta yang diperuntukkan untuk Projek Taman Tugu yang berkeluasan 66 ekar, maka secara purata ia akan menelan kos sebanyak RM9.85 juta bagi setiap ekar. Tidakkah itu satu jumlah yang sangat besar? Apakah projek yang lebih baik diutamakan untuk rakyat di Kuala Lumpur jika diperuntukkan RM650 juta tersebut?

1.RM650 juta boleh membina 2,365 unit rumah jenis pangsapuri PR1MA yang berharga RM 275,000 (satu unit) seperti yang dicadangkan di Jalan Jubilee, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

2.RM650 juta boleh membina 6 buah kompleks pendidikan yang lengkap seperti Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Wilayah Persekutuan yang menelan kos sehingga RM 104.49 juta.

3.RM650 juta boleh menampung dana penyelidikan universiti yang berjumlah RM100 juta setahun selama enam tahun berturut-turut. Tidakkah peruntukan ini boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan penyakit baru seperti Virus Zika?

4.RM650 juta juga boleh membiayai 6,500 usahawan dengan had pembiayaan maksimum berjumlah RM100,000 di bawah Dana Usahawan Muda seperti yang ditawarkan oleh SME Bank.    

Ini adalah contoh bagaimana peruntukan sebesar itu boleh disalurkan terus kepada keperluan rakyat dan ternyata ia memberi kesan gandaan yang lebih besar dalam kitaran ekonomi. Kami mencadangkan agar peruntukan dana sosial  ‘Corporate Responsibility’ disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan. – HARAKAHDAILY 7/9/2016

Share on Myspace