Polisi rumah mampu milik Selangor wajar diperluas

SALKUKHAIRI ABD SUKOR | .

PERSATUAN Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) melihat polisi baru Kerajaan Negeri Selangor yang mewajibkan pemaju membina unit mampu milik dalam setiap pembinaan Pangsapuri Perkhidmatan, SOHO dan SOVO sebagai langkah kearah perlaksanaan kawalan harga rumah di negeri tersebut.

Polisi tersebut selari dengan cadangan HartaGuam sebelum ini yang mahukan kerajaan sama ada kerajaan negeri mahupan kerajaan persekutuan, memperkenalkan harga siling sesuatu hartanah untuk mengawal harga hartanah yang makin meningkat dari tahun ke tahun.

Polisi terebut juga sewajarnya diperluaskan untuk kesemua jenis hartanah kediaman di negeri tersebut dan bukannya sekadar terhad untuk unit pangsapuri perkhidmatan, SOHO dan SOVO sahaja.

Melalui polisi tersebut, dilaporkan pemaju diwajibkan membina 10 hingga 20 peratus unit mampu milik pada harga RM230,000 hingga RM270,000 berbanding harga jualan hartanah SOHO dan SOVE yang kini melebihi RM450,000 hingga RM500,000.

Walaupun melalui polisi tersebut kerajaan negeri Selangor telah “menghapuskan” diskaun 10% pembelian hartanah untuk golongan bumiputra, langkah tersebut dilihat tidak akan memberikan kesan terhadap pemilikan hartanah oleh golongan bumiputra di negeri tersebut.

Saya berpandangan, tiadalah gunanya menawarkan harga diskaun kepada golongan bumiputra sedangkan harga jualan asal hartanah yang ditawarkan oleh pemaju sejak daripada awal lagi memang tidak mampu dimiliki oleh golongan tersebut, khususnya golongan belia.

Misalnya, sekiranya harga jualan asal yang ditawarkan untuk sesuatu hartanah pun sudah melebihi RM500,000, jika diskaun 10% tersebut di tawarkan kepada golongan bumiputra sekalipun, harga hartanah tersebut mungkin tetap tidak mampu dimiliki oleh golongan bumiputra yang berpendapatan sederhana. Akhirnya apabila tiada golongan bumiputra yang mampu membeli, hartanah tersebut akan ditawarkan kepada golongan bukan bumiputra.

Sebaliknya, saya melihat, langkah menetapkan harga siling untuk golongan bumiputra bagi sesuatu projek perumahan baru yang dibina mampu memberi peluang kepada golongan bumiputra yang berpendapatan sederhana memiliki rumah.

Pun begitu, saya berpandangan, polisi kerajaan negeri tersebut tidak hanya sekadar terhenti setakat itu sahaja. Ianya perlu diperincikan dengan lebih teliti supaya tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membeli hartanah tersebut secara pukal dan kemudian menjualkannya kepada orang ramai dengan harga yang lebih mahal.

Kuota tersebut seharusnya dihadkan untuk golongan berpendapatan sederhana yang masih belum memiliki rumah sahaja. Proses pemilihan juga haruslah dikaji dan diperketatkan untuk mempastikan hanya golongan yang berhak sahaja dibenarkan membeili hartanah dalam kategori tersebut.

Yang paling penting, kerajaan negeri juga perlu memberi latihan dan pendedahan awal secara percuma kepada golongan belia atau golongan bumiputra yang berpendapatan sederhana untuk mereka merancang dan menguruskan pendapatan serta kewangan mereka dengan baik sebelum mereka membuat keputusan membeli hartanah dalam kategori harga terebut.

Apalah gunanya porlisi “harga patut” diperkenalkan dengan matlamat supaya lebih ramai golongan belia dan berpendapatan sederhana memiliki hartanah sendiri, tetapi semuanya tidak lepas dari segi pembiayaan perumahan dengan bank disebabkan kegagalan mereka merancang dan menguruskan pendapatan dan kewangan mereka dengan baik sejak daripada awal lagi. Sudah pasti polisi tersebut tidak akan mencapai target yang diharap-harapkan. – HARAKAHDAILY 7/9/2016

Penulis ialah Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Share on Myspace