RUU355: Mohon undi sokongan MP Kedah

HARAKAHDAILY | .

MENGAKUI kedudukan 15 Ahli Parlimen dalam negeri ini adalah individu penting kepada hasrat pindaan RUU355, maka kami mengambil tanggungjawab proaktif selaku agen yang akan memohon dan mengesahkan undi sokongan mereka pada Sidang Parlimen Oktober depan.

Walaupun undi menyokong atau menolak adalah hak dan kebijaksanaan legislatif mereka, namun kerencaman info berlegar ketika ini lebih mencetus sensasi dan kontroversi hingga mengheret salah faham. Segala prasangka dan kesamaran wajib dirungkai menerusi pertemuan serta penjelasan agar dapat diterangkan bahawa pindaan tersebut tidak sepatutnya 'panas' dan diisukan.

Hal ini kerana semua Ahli Parlimen telah pun melalui sekitar 12 RUU yang dipinda dalam tahun ini sahaja. Ia adalah rutin atau proses biasa yang berlangsung di Parlimen dan mereka seadilnya perlu berada dalam keadaan 'neutral' bahawa RUU355 tidak harus dimangsakan.

Usul pindaan RUU355 yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang pada 26 Mei lalu telah memberi ruang masa panjang kepada semua Ahli Parlimen untuk membuat kajian, mendapatkan pandangan dan melihat reaksi kecenderungan rakyat agar dibahaskan sebaiknya pada sidang nanti.

Pada pemahaman dan penglihatan kami, tidak sepatutnya timbul masalah untuk para Ahli Parlimen memberi undi sokongan. Kami akan mengajukan; pindaan ini hanya berkaitan hak dan ehwal semasa institusi serta umat Islam, sesuai keadaan, perubahan atau tuntutan ketika ini.

Oleh sebab tujuan pindaan ini jelas adalah ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah supaya dinaiktaraf kedudukannya selaras peruntukan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Malah, ia secara tidak langsung berkait kepentingan negara di mana 68 peratus penduduk Malaysia terdiri daripada orang Islam. Ia juga soal mentertib dan mewujudkan landskap sosial lebih baik, hasil daripada warga yang memenuhi Rukun Negara, khusus dari kalangan orang Islam. Pihak kami mahukan semua 15 Ahli Parlimen tersebut memahami bahawa rakyat sedar, faham serta mahu pindaan tersebut dijayakan.

Akhirnya, kami menyeru kepada setiap Ahli Parlimen Kedah khususnya memberikan undi menyokong terhadap pindaan RUU355 ini nanti. Kami percaya, Ahli Parlimen yang baik dan secara benar mewakili, sudah tentu seiring dengan hasrat penduduknya dan pasti menyedari rakyat juga mempunyai kuasa demokrasi.

USTAZ IDRUS AHMAD
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah – HARAKAHDAILY 7/9/2016

Share on Myspace