Marah Mahathir umpama marah diri sendiri

ASPAN ALIAS | .

PENYOKONG tegar Najib begitu obses dengan lontaran kutukan terhadap Dr Mahathir seolah-olah hanya Dr Mahathir yang mahukan beliau meletakkan jawatan sebagai PM negara ini. Dr Mahathir telah menjadi bahan makian oleh kumpulan yang menyokong Najib ini dengan menyebut dan menyelongkar segala perkara yang mereka anggap sebagai jenayah yang dilakukan oleh Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun itu.

Jika pun benar segala tuduhan mereka terhadap Dr Mahathir mereka tidak terlepas dari dosa-dosa yang dilakukan oleh Dr Mahathir kerana Najib, Anwar Ibrahim dan semua mereka itu ada di dalam Jemaah Kabinet Dr Mahathir. Jika Mahathir melakukan jenayah ia bermakna Najib, Anwar dan yang lain-lain itu bersama-sama bertanggungjawab diatas dasar ‘collective responsibility’ sebagai ahli Jemaah Kabinet Dr Mahathir.

Pendeknya mereka yang bertelagah dengan Dr Mahathir merupakan mereka yang bersama-sama berdosa dengan tindakan ala penjenayah jika benar dilakukan oleh Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri dahulu.

Perlu diingat Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet itu sama tarafnya, hanya seorang Perdana Menteri itu adalah ‘first among equal’ dikalangan ahli-ahli Jemaah Kabinet itu. Jika membuat sesuatu keputusan baik atau sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua Menteri termasuklah Najib, Anwar Ibrahim dan yang lain-lain.

Pendeknya kutukan Najib terhadap Dr Mahathir itu merupakan kutukan terhadap dirinya sendiri. Begitu jugalah kutukan penyokong Najib terhadap Dr Mahathir itu adalah kutukan kepada pemimpin yang mereka sokong itu.

Oleh itu elok Najib dan penyokongnya bercakap diatas landasan yang betul jika mahu mengutuk dan mengkritik Dr Mahathir itu.

Tidak boleh Najib mengatakan yang Dr Mahathir adalah penyebab kepada kecelaruan hari ini kerana Najib sendiri adalah ahli kepada Jemaah Kabinet Dr Mahathir. Begitu juga Anwar Ibrahim, beliau merupakan penyokong Dr Mahathir yang paling tegar.

Kalau tidak masakan Anwar berucap di PWTC suatu ketika dahulu seraya berkata ‘seandainya boleh ku putar awan dilangit aku akan tuliskan nama mu Dr Mahathir Mohammed’.

Tetapi apabila sudah bertengkar dan berselisih faham mereka ini mengutuk Dr Mahathir yang mereka sokong dengan begitu kuat, seolah-olah tidak ada pimpinan yang lain yang layak untuk memimpin negara ini.

Tidak mungkin Dr Mahathir boleh melakukan apa yang beliau telah lakukan seandainya pemimpin-pemimpin dibawah beliau seperti Anwar, Najib dan lain-lain menteri tidak bersetuju dengan tindakan dan apa-apa keputusan yang hendak dilakukan oleh Dr Mahathir. Bagi Najib dan yang lain mengatakan yang buruk tentang Dr Mahathir adalah serupakan memburukan dirinya sendiri.

Bagi rakyat yang ingin mereka lihat ada usaha untuk memperbaiki keburukan yang dilakukan oleh Najib dan kabinetnya, tidak kiralah usaha dilakukan oleh mereka yang pernah melakukan kesilapan dan kesalahan.

Yang penting sekarang jika Najib masih berkuasa dengan sewenang-wenangnya negara ini akan hancur lumat dan tidak akan lagi berada dalam keadaan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Pembunuhan Umno asal oleh Dr Mahathir adalah diatas sokongan semua pemimpin Umno yang menganggotai jawatankuasa penaja parti baru itu. Ingat alamat parti tersebut terdaftar di Seri Perdana dan diantara mereka yang menganggotai jawatankuasa tertinggi penajanya ialah Abdullah Badawi, Anwar Ibrahim, Najib Tun Razak dan yang lain-lain yang telah menyeleweng itu.

Justeru yang dikutuk dan yang mengutuk adalah dari kumpulan yang sama yang sudah tidak sehaluan lagi. Mereka sanggup memusnahkan institusi politik orang Melayu dan sekarang ini mereka ini jugalah yang bercakap tanpa malu tentang perjuangan Melayu dan agamanya.

Politiknya tiada, agamanya pun hancur dan tidak keruan hala tujunya. Itu sebabnya blog ini sejak bertahun-tahun dahulu meramalkan barangan tiruan tidak akan tahan lama. Umno yang ada pada hari ini adalah Umno tiruan dan tidak mungkin sama kualitinya dengan Umno yang pimpinan bunuh dahulu. Pembunuhan Umno lama dahulu bukan sahaja melibatkan parti Umno itu sahaja, malahan ia telah menjahanamkan semangat pengasingan kuasa dalam negara kita.

Politik dan eksekutif telah menguasai badan kehakiman serta legislatif. Sejak itu kuasa tertumpu ditangan Perdana Menteri Dr Mahathir dan PM-PM seterusnya, dan yang lebih buruk sekali keadaannya ialah dibawah Perdana Menteri Najib.

Perdana Menteri Malaysia sekarang lebih kuat kuasanya dari Presiden AS kerana PM negara ini boleh memasukkan dan mengeluarkan orang dari penjara. Mahkamah hanya merupakan ‘rubber-stamp’ sahaja dan tidak tahulah bagaimana generasi yang akan datang menerima keadaan ini.

Bagi blog ini isu 1MDB ‘is a done issue’ dan segala yang wajar dilakukan oleh rakyat wajar dilakukan dengan sepenuhnya. Tetapi yang lebih penting lagi ialah kehancuran ‘struktur’ politik dan kerajaan merupakan satu perkara yang besar dan jika ia tidak ditangani dengan segera dan cara yang betul, negara akan musnah dan ia tidak akan lagi mempunyai ‘form’ dan budaya yang sepatutnya ada bagi sesebuah negara yang maju atau negara yang ingin maju seperti yang dilaungkan oleh ramai pemimpin tetapi tidak memahami apa yang mereka laungkan itu.

Tidak mungkin pemimpin-pemimpin dari dalam kabinet hari ini boleh dan mempunyai kemampuan untuk melakukan ‘structural changes’ ini kerana mereka adalah penyumbang kepada kerosakan struktur politik dan kerajaan hari ini. 'To the ethics of democracy once there is a change in the country's leadership the entire current cabinet should resign as they have failed as the managers of the country as mandated by the people'.

Mereka yang ada pada hari ini hanya akan melebarkan lagi masalah ketegangan antara kaum dan impian untuk mencapai ‘ultimate’ kita iaitu perpaduan nasional tidak mungkin tercapai sampai bila-bila. – aspanaliasnet.blogspot.my/

Share on Myspace